BINTANG bola sepak Brazil, Neymar kini berdepan tindakan undang-undang selepas disaman oleh bekas cef peribadinya yang mendakwa terpaksa bekerja selama 16 jam sehari, termasuk memasak untuk 150 orang kenalan dan tetamu pemain tersebut.Lebih malang, wanita itu turut mendakwa dia mengalami kecederaan fizikal akibat bebanan tugas menyediakan makanan di salah sebuah kediaman mewah pemain berkenaan di Rio de Janeiro.Menurut laporan, cef berkenaan berkhidmat di vila milik Neymar di Casa Hotel Portobello, perbandaran Mangaratiba bermula Julai 2025 hingga Februari tahun ini.Ia susulan kepulangan bekas bintang Barcelona itu ke tanah airnya selepas melalui musim yang suram di Arab Saudi.Berdasarkan dokumen mahkamah yang diteliti oleh portal berita Brazil, Metropoles, tuntutan saman tersebut telah difailkan di Mahkamah Buruh Serantau bagi Wilayah Pertama.Menerusi tuntutan itu, cef berkenaan mendedahkan bahawa kontrak asalnya menetapkan waktu kerja dari jam 7 pagi hingga 5 petang bagi hari Isnin hingga Khamis, dan 7 pagi hingga 4 petang pada Jumaat.Bagaimanapun, dia mendakwa sering diarahkan bekerja sehingga jam 11 malam atau tengah malam, selain terpaksa bertugas pada hujung minggu.Lebih teruk lagi, dia juga mendakwa tidak diberikan waktu rehat tengah hari yang diwajibkan oleh undang-undang.Susulan pelanggaran terma itu, bekas cef yang sebelum ini dibayar gaji sebanyak £1,065 sebulan itu kini menuntut pampasan berjumlah £37,544.Tuntutan tersebut merangkumi bayaran pemberhentian kerja, denda, kerja lebih masa, bayaran pampasan waktu rehat, ganti rugi, serta kos perubatan akibat kecederaan yang dialami.Agensi pekerjaan pihak ketiga yang mengupah wanita tersebut bagi pihak Neymar turut dinamakan sebagai defendan bersama dalam kes itu.Namun begitu, penyerang berusia 34 tahun berkenaan enggan memberikan sebarang komen kepada media Brazil apabila disoal mengenai situasi tersebut.Sebagai rekod, Neymar menandatangani lanjutan kontrak pada Jun lalu bersama Santos, kelab tempat dia memulakan kariernya.Sepanjang musim ini, pemain itu dijangka meraih pendapatan sekitar £11.8 juta, dengan perjanjian baharu yang memberikannya bahagian keuntungan daripada tajaan serta pelaburan yang dijana oleh pasukan susulan kepulangannya yang membawa impak kewangan positif kepada kelab.
Source link





