SAYA tidak pasti membaca kata-kata ini di mana, (saya harap bukan petikan healing di media sosial) tapi ia berbunyi, ‘kita menjadi apa yang kita cari. Apa yang kita cari akan mencari kita’. Saya fikir itu ayat penyair sufi, Jalaluddin Rumi.
Ketika menonton filem arahan Josh Safdie, Marty Supreme, sukar untuk saya mengeluarkan imej bola ping pong yang melantun, huyung hayang, dibantai, dihunjam dengan wajah Marty
Mauser lakonan Timothée Chalamet. Bahkan dalam banyak keadaan, filem yang merangkul sembilan pencalonan Oscar ini seolah sedang menunjukkan kepada saya bahawa Marty menjadi seperti bola ping pong, sukan kecintaan yang dibantainya di atas papan.
Sepanjang dua jam lebih filem berputar, Marty mempunyai dua perkara konsisten iaitu kepercayaannya terhadap bakat sebagai pemain ping pong. Kedua, kegelisahannya untuk selalu mewujudkan mimpi itu dalam keadaan serba daif sekadar kerja di kedai kasut tidak cukup wang mendanai perjalanannya bertanding di Jepun.
Demi mewujudkan mimpi itu, kita melihat Merty meliar mencari ruang dan peluang mana yang boleh dilakukan untuk mendapat wang walau harus meniduri perempuan yang sudah bersuami, mempermainkan sahabat sendiri, menipu, bahkan membiarkan punggungnya dipukul golongan elitis dengan kayu ping pong, sukan yang paling dicintanya.
Bagi sebuah filem sukan, Marty Supreme, menepati segala rukun yang diperlukan; iaitu rasa teruja, buat kita tidak senang duduk, cemas ibarat berpindah duduk di dalam stadium, menjadi tukang seorang Marty menumpaskan segala lawannya.

Namun harus juga diakui melihat bagaimana Marty memperoleh kesemua peluang itu dengan cara-cara kotor dan licik. Saya fikir, perasaan bercampur baur itu yang sengaja dimasukkan Josh Safdie bahawa perjalanan Marty bukanlah bersifat heroik, ada banyak yang boleh ditanya dan dipertikai.
Bagaimanapun, saya suka untuk melihat Marty sebagai anak muda produk slogan American Dreams yang kuat bergaung dalam fikir dan nadi masyarakat Amerika di era 1950-an. Ketika optimis kapitalis sedang naik-naik, mereka kemudian membuat sebuah fahaman mengajar semua orang berfikir bahawa semua impian boleh dicapai asalkan kita berusaha. Pendek kata, hendak kaya dan hidup senang, usahalah lebih sikit.
Marty anak muda bercita-cita besar yang termakan dengan mitos ini. Sedangkan dalam konteks sosial, ada banyak yang perlu difikirkan untuk mencapai segala impian itu dan ia tidak harus dilakukan dengan memijak kepala orang lain atau membina mahkota di atas air mata manusia lain. Apa guna struktur sosial huyung-hayang terhempas mencari tapak walau harta terkumpul di tapak tangan seperti kritik yang diberikan Roland Barthes.

Marty menunjukkan kepada kita kesan-kesan mitos itu yang seorang mengajarkan kita bagai menjadi hamster yang berputar-putar di roda yang sama. Sebuah keinginan yang berakhir dengan hal-hal materialistik tidak akan membawa kita ke mana-mana kecuali ke lohong perasaan sunyi, terasing dan palsu.
Marty ketika menumpaskan Koto Endo tidak juga menjadikannya lebih baik sebaliknya pemuda yang menyedihkan dengan kemenangan yang nampak terpaksa.
Dia akhirnya pulang menumpang pesawat prajurit menemui Rachel yang ditinggalkannya ketika wanita itu sarat melahirkan dengan kesan tembakan di dada demi mengejarkan impiannya di Jepun yang ternyata tidak seberapa itu.
Di luar bilik kaca, Marty mengetuk tingkap meminta jururawat menunjukkan anaknya, menangis, bahawa kejayaan sebenar yang dikejar bukan American Dreams yang diajar di dalam kepala. Sebaliknya tangis anak yang menunjukkan kepadanya bahawa dia selalu ada tempat untuk berasa pulang.






