Pelakon Scha Alyahya mengakui dia menawarkan ganjaran RM20 sehari kepada anak sulungnya, Lara Alana sebagai galakan untuk berpuasa di bulan Ramadan.
Memetik HibGlam, Scha berkata ganjaran diberikan sebagai motivasi buat anaknya untuk lebih bersemangat menunaikan ibadah berkenaan.
BACA: Scha Alyahya Didik Anak Jaga Batas Pergaulan
“Saya janji beri RM20 sehari kalau dia berjaya puasa penuh. Biasalah, bila anak buat sesuatu perkara sukar, kita bagi ganjaran sebagai galakan. Tetapi bila dia berjaya puasa penuh, dia langsung tak ingat pun tentang RM20 itu.
“Sebelum ini saya bawa dia bercuti sebagai ganti kerana kebetulan waktu itu hampir dengan sambutan hari jadi Lara,” katanya.
Sementara itu, Scha berkata ini merupakan tahun ketiga anaknya itu berpuasa penuh dan Lara teruja setiap kali tiba bulan puasa.
“Ini tahun ketiga Lara berpuasa penuh dan setiap kali Ramadan dia sangat teruja. Bila saya tanya kenapa dia suka berpuasa, dia sendiri tak tahu. Katanya cuma seronok untuk berpuasa.
“Saya harap tahun ini pun semuanya berjalan lancar supaya dia dapat terus berpuasa penuh,” katanya.
Untuk rekod, Scha mendirikan rumah tangga dengan Awal pada 4 Mei 2012. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Lara Alana, 11 dan Lyla Amina, 5.
Sumber: HibGlam





