Nelissa teruja kembali ke PPR Desa Tun Razak bantu ibu tunggal

Nelissa teruja kembali ke PPR Desa Tun Razak bantu ibu tunggal


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Nellisa Nizam, 28, mendedahkan dia dibesarkan oleh ibunya, Ayu Manaf yang juga ibu tunggal di penempatan Program Perumahan Rakyat (PPR), Desa Tun Razak, Cheras, di sini.

Nellisa atau nama sebenarnya, Nelissa Edreena Nizam berkata, ibunya berjiwa besar dan banyak mengajarnya untuk berdikari sehingga berjaya mencapai apa yang dikecapinya hari ini.

“Saya dibesarkan mama bersama adik-beradik lain dalam keadaan serba kekurangan di kawasan PPR dulu.

“Setiap kali tibanya hari raya (Aidilfitri) memang mama akan cari duit untuk beli kami baju baru termasuk baju sekolah walau macam mana susah sekali pun.

“Pengorbanan mama itulah yang menjadi inspirasi buat saya untuk buat program infaq baju raya buat golongan ibu tunggal yang memerlukan,” katanya.

Nellisa berkata demikian ketika ditemui pada majlis Her Series Raya Gathering bertemakan Ratna Desa, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, pelakon Julia Farhana dan pereka fesyen tempatan, Sodiqin Shaz.

Menurutnya, setiap pembelian baju raya koleksi Ratna Desa boleh dijadikan sebagai infaq yang akan disalurkan kepada golongan ibu tunggal menerusi kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) terpilih.

Kata pelakon filem Impak Maksima 2 itu, memang menjadi impiannya sejak dulu untuk membuat program berobjektif memberi semula kepada masyarakat.

“Saya juga merancang untuk kembali semula ke rumah lama kami di PPR dulu untuk menghulurkan bantuan kepada ibu tunggal menerusi infaq baju raya koleksi Ratna Desa ini.

“Terus terang, saya berasa sangat teruja untuk kembali ke rumah lama di PPR itu di mana saya dibesarkan dulu,” katanya.

Acara itu juga mendapat sokongan rakan artis seperti Maria Farida, Sophia Albarakbah dan pengarah terkenal Dr Ahmad Idham.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top