Penyelarasan subsidi diteruskan biarpun tidak popular – PM

Penyelarasan subsidi diteruskan biarpun tidak popular – PM


KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneruskan langkah penyelarasan subsidi walaupun tidak popular tetapi dapat menjimatkan berbilion-bilion ringgit wang kerajaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, penjimatan wang itu sedang disalurkan semula kepada rakyat yang memerlukan dan layak sama ada dalam bentuk pemberian subsidi lain atau wang ringgit.

Jelasnya, kerajaan boleh memilih untuk meneruskan pemberian subsidi menyeluruh yang dilaksanakan pentadbrian sebelum ini,  memanfaatkan semua golongan masyarakat sama ada yang miskin, kaya, malah warga asing.

Namun, tegas beliau, pendekatan itu selain akan membawa negara menuju ke arah bankrap, juga merupakan tanggungjawab pengabaian moral untuk tadbir urus dan bertanggungjawab kerajaan hari ini.

“Adakah dengan mengambil tindakan ini (penyelarasan subsidi) termasuk melaksanakan pelarasan tarif elektrik dan mengapungkan harga beberapa barangan adalah untuk menyeksa dan menyebabkan penderitaan kepada rakyat?

“Sudah tentu tidak, sebaliknya majoriti rakyat akan terus menikmati subsidi yang mereka layak terima, golongan kaya dan industri besar mesti membayar apa yang sepatutnya mereka bayar.

“Inilah yang telah kerajaan lakukan dan akan terus lakukan, seiring dengan usaha meneruskan pembaharuan struktur secara berani,” katanya ketika berucap pada majlis Khazanah Megatrend Forum 2024, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Tambah Anwar, penyelarasan subsidi itu juga seiring dengan komitmen kerajaan ke arah tadbir urus, kebertanggungjawab dan keadilan sosial sekali gus memastikan manfaat pertumbuhan negara diagihkan secara secara adil dan saksama, dan setiap rakyat Malaysia mempunyai peluang untuk maju.

Sehubungan itu, tegas beliau, mereka yang ditugaskan untuk melaksanakan dasar kerajaan perlu mematuhi standard yang tinggi dalam tanggungjawab, ketelusan, dan akauntabiliti yang diamanahkan kepada mereka.

“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam tindakan yang tegas, jelas dan proaktif kita dalam menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Pembaharuan struktur juga perlu bermakna ada kesungguhan dan komitmen teguh untuk mengambil tindakan terhadap elemen jenayah, mereka yang mengaut keuntungan secara tidak beretika, dan penyalahguna kuasa tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top