London: Legenda Manchester United, Paul Scholes, menegaskan beliau tidak berniat menyinggung perasaan bekas rakan sepasukannya, Michael Carrick, selepas memuat naik komen sinis mengenai prestasi pasukan itu di media sosial.
Scholes menulis komen berkenaan di Instagram selepas Manchester United tewas 1-2 kepada Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu lalu.
Bekas pemain tengah England itu mempersoalkan prestasi United walaupun Carrick dianggap memiliki sesuatu yang istimewa sebagai pengurus sementara di Old Trafford.
“Michael sememangnya ada sesuatu yang istimewa kerana United bermain teruk dalam empat perlawanan terakhir,” tulis Scholes.
Kekalahan kepada Newcastle itu adalah kekalahan pertama Carrick sejak mengambil alih tugas daripada Ruben Amorim yang dipecat pada Januari lalu.
Walaupun tewas dalam aksi itu, United masih berada di tangga ketiga EPL dan bersaing untuk slot ke Liga Juara-Juara (UCL) selepas tidak tewas dalam tujuh perlawanan pertama di bawah kendalian Carrick.
Scholes pernah bergandingan bersama Carrick di bahagian tengah United selama tujuh tahun dan seorang lagi bekas rakan sepasukan mereka, Patrice Evra, turut mengkritik kenyataan itu dengan berkata beliau berharap akaun Scholes “digodam”.
Scholes kemudian cuba menjernihkan keadaan ketika bercakap dalam podcast The Good, The Bad and The Football bersama bekas pemain United Wes Brown dan Nicky Butt.
“Michael adalah antara individu paling baik yang pernah anda temui dalam bola sepak. Dia orang terakhir yang saya mahu singgung,” kata Scholes.
Bekas pemain tengah England itu berkata dia sudah menghantar mesej kepada Carrick bagi menjelaskan perkara sebenar.
“Saya terus mesej Michael dan berkata, ‘Saya tidak berniat untuk menyinggung perasaan kamu.’
“Sejujurnya saya rasa saya tidak perlu pun menjelaskannya, dan dia sendiri memberitahu dia tidak tersinggung.
“Saya rasa orang lain mentafsir kenyataan itu secara berbeza daripada maksud sebenar. Apa yang saya katakan hanyalah United tidak bermain dengan baik dalam empat perlawanan terakhir, tetapi dia masih mampu meraih keputusan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






