PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mahu ‘orang dalam’ Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertanggungjawab dan tidak lepas tangan susulan keputusan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membabitkan kes tujuh pemain Harimau Malaya.
Baginda dalam satu hantaran di laman media sosial X mendakwa, terdapat segelintir ‘orang dalam’ FAM yang bertindak mendalangi kempen sabotaj bagi menjadikan baginda sebagai kambing hitam.
Titah baginda, individu-individu terbabit dipercayai menyimpan rasa tidak puas hati sejak dahulu lagi kerana gagal memanipulasi kedudukan mengaut keuntungan peribadi.
Lebih mengejutkan, Tunku Mahkota Ismail mendakwa ada pihak dari badan induk itu pernah datang bersemuka untuk meminta pertolongan mendapatkan projek, selain memohon bantuan agar mereka tidak disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ramai yang kecewa apabila kerajaan membantu memberi dana kepada pasukan kebangsaan. Ramai tak puas hati kerana ada yang tidak terlibat.
“Jadi (mereka) secara senyap berjumpa Ultras Malaya, beberapa pengamal media dan beberapa individu di media sosial untuk memulakan kempen sabotaj serta menggunakan pelbagai naratif,” titah baginda.
Pada Khamis lepas, CAS sebahagiannya menerima rayuan tujuh pemain Harimau Malaya terhadap hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung pemalsuan dokumen naturalisasi dan kelayakan.
Dalam keputusan operasi yang dikeluarkan tanpa alasan terperinci, CAS memutuskan tujuh pemain berkenaan masih dikenakan penggantungan selama 12 bulan.
Bagaimanapun, larangan itu kini hanya terpakai kepada perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.
CAS turut mengekalkan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) yang dikenakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan menyifatkan hukuman itu wajar serta seimbang.
Menyentuh mengenai kes di CAS itu, Tunku Mahkota Ismail menegaskan bahawa ia adalah berpunca daripada pemalsuan dan penghantaran dokumen. Bukannya isu kelayakan kerakyatan pemain.
Baginda mempersoalkan tindakan pihak tertentu dalam FAM dan ejen pemain yang didakwa gagal menyerahkan dokumen sah daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Siapa yang buat penyerahan dokumen yang salah? Ejen dan siapa dalam FAM? Mengapa tak serahkan dokumen yang sah dari JPN? Kerana nak selamatkan orang dalam, pemain dipersalahkan.
“Semasa hujah dalam perbicaraan CAS, pihak FIFA pun tak boleh jawab apabila ditanya mana bukti pemain terlibat atau bersubahat,” titah baginda.
Tunku Mahkota Ismail turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan ‘pilih kasih’ FIFA yang melayan kes tersebut secara berbeza berbanding kes CAS sebelum ini.
Jelas baginda, dalam kes terdahulu, seorang pemain wanita yang mengaku bersalah membuat pemalsuan hanya dihukum penggantungan 10 perlawanan untuk pasukan kebangsaan namun masih dibenarkan beraksi bersama kelabnya.
“Orang dalam (FAM) patut bertanggungjawab. Bukan lepas tangan dan gunakan penyokong dan media untuk jadikan saya kambing hitam,” titah baginda.
Ringkasan AI
- Pemangku Sultan Johor mahu individu di FAM bertanggungjawab bukan menjadikan baginda kambing hitam dalam isu CAS
- Terdapat dakwaan sabotaj dalam FAM untuk menjatuhkan baginda dengan menyalahkan baginda atas kekalahan di CAS
- Tunku Mahkota Ismail dakwa ada yang tidak puas hati sejak lama dalam FAM kerana gagal memanipulasi kedudukan untuk keuntungan peribadi
- Baginda juga mendakwa ada pihak dari FAM yang meminta bantuan untuk mengelak siasatan SPRM dan mendapatkan projek
- CAS menyokong sebahagian rayuan pemain Harimau Malaya dengan masih mengekalkan denda dan penggantungan terhadap aktiviti bola sepak rasmi





