Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas sepanjang Aidilfitri tahun ini menerima sumbangan berjumlah RM2.086 juta sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan mereka mempertahankan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, secara keseluruhannya 61 sumbangan diterima pada tahun ini melibatkan RM1.832 juta dalam bentuk kewangan dan RM254,000 dalam bentuk barangan.
“Alhamdulillah, secara keseluruhannya, pada tahun ini sebanyak 61 sumbangan diterima dalam bentuk barangan atau kewangan.
“Sumbangan yang diterima pada tahun ini merangkumi RM1.832 juta dalam bentuk kewangan dan RM254 ribu dalam bentuk barangan, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan berjumlah RM2.086 juta,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1447H/2026M di Auditorium Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain, dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.
Menurut Mohamed Khaled, sumbangan tersebut disediakan melalui beg bekalan raya kepada anggota ATM yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri dan tidak dapat menyambutnya bersama keluarga.
“Saya berharap, penyediaan beg raya dan sumbangan barangan seperti kuih raya, juadah tradisional dan kelengkapan harian, sedikit sebanyak dapat mengubati rindu dan menyuntik semangat kepada para perwira kita,” ujarnya.
Beliau berkata, sumbangan berkenaan bukan sekadar pemberian material sebaliknya melambangkan penghargaan rakyat, kerajaan dan sektor korporat terhadap jasa anggota tentera yang sentiasa komited mempertahankan negara.

“Sumbangan ini bukan sekadar pemberian material, tetapi ia adalah simbol penghargaan dan pengiktirafan. Satu manifestasi rasa terima kasih daripada rakyat, badan korporat dan kerajaan,” kata Mohamed Khaled.
Dalam pada itu, beliau berkata walaupun jumlah sumbangan pada tahun ini menunjukkan sedikit penurunan berbanding tahun lalu, program berkenaan masih mendapat sokongan pelbagai pihak yang prihatin terhadap kebajikan warga ATM.
“Walaupun terdapat sedikit penurunan berbanding pada tahun lepas, namun saya tetap bersyukur kerana program ini masih mendapat sokongan daripada pelbagai pihak yang prihatin terhadap kebajikan warga ATM,” ujarnya lagi.

Sementara itu, ATM menerusi satu kenyataan berkata, sumbangan itu membolehkan 16,000 beg Aidilfitri untuk diagihkan kepada warga yang sedang bertugas di seluruh negara dan di misi luar negara, merangkumi Tentera Darat Malaysia (TD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).






