Madrid: Atletico Madrid mengambil kesempatan atas beberapa kesilapan Tottenham Hotspur untuk mencatat kemenangan besar 5-2 dalam aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Kelab dari London itu ketinggalan 0-4 dalam tempoh hanya 22 minit selepas melakukan tiga kesilapan besar, termasuk dua daripada penjaga gol Antonin Kinsky yang menghadiahkan tiga jaringan awal buat tuan rumah di Stadium Metropolitano.
Julian Alvarez menjaringkan dua gol untuk pasukan kendalian Diego Simeone, manakala Marcos Llorente, Antoine Griezmann dan Robin Le Normand turut menemui sasaran di ibu negara Sepanyol itu.
Pedro Porro menjaringkan gol pertama pelawat sebelum Dominic Solanke menambah satu lagi, sekali gus memberi sedikit harapan buat Tottenham menjelang aksi timbal balik. Namun kekalahan itu tetap menjadi yang keenam berturut-turut mereka dalam semua pertandingan.
“Malangnya kesilapan itu berlaku dalam perlawanan besar seperti ini. Kami membayar harga yang mahal dengan permulaan yang buruk,” kata jurulatih sementara Spurs, Igor Tudor.
Tudor sebelum ini menganggap perlawanan itu sebagai peluang untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah pasukannya, dengan fokus utama kelab adalah mengelak penyingkiran daripada Liga Perdana Inggeris.
Jurulatih Croatia itu memilih penjaga gol berusia 22 tahun dari Republik Czech, Kinsky menggantikan Guglielmo Vicario sekali gus penampilan pertamanya sejak Oktober lalu ketika Spurs sudah pun bolos dua gol dalam sembilan perlawanan liga sebelumnya.
Namun keputusan itu menjadi mimpi ngeri seawal minit keenam apabila Kinsky tergelincir ketika cuba mengeluarkan bola dari kawasan sendiri dan menghadiahkannya kepada Ademola Lookman.
Pemain sayap Nigeria itu kemudian menghantar bola kepada Alvarez sebelum Llorente mudah menyudahkan peluang untuk gol pembukaan.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila Spurs melepaskan dua gol dalam tempoh dua minit. Micky van de Ven terjatuh, memberi ruang kepada Griezmann untuk menjaringkan gol kedua Atletico sebelum Kinsky melakukan satu lagi kesilapan besar yang membolehkan Alvarez menjaringkan gol ketiga ke gawang kosong.
Tudor akhirnya membuat keputusan drastik dengan mengeluarkan Kinsky dan memasukkan Vicario selepas hanya 17 minit permainan. Penyokong Atletico memberi tepukan ketika penjaga gol muda itu meninggalkan padang.
“Pasukan bersama dengannya, saya juga. Dia faham situasi ini dan sebab dia dikeluarkan,” kata Tudor.
“Saya sudah melatih selama 15 tahun dan tidak pernah melakukan perkara ini. Tetapi ia perlu untuk melindungi pemain itu dan juga pasukan.”
Vicario kemudian melakukan satu aksi menyelamat cemerlang bagi mengelak tandukan Pape Sarr masuk ke gawang sendiri, namun Le Normand menyambar bola muntah untuk gol keempat Atletico dalam masa 22 minit.
Empat minit kemudian, Porro mengurangkan defisit selepas bergandingan dengan Richarlison.
Tudor memasukkan Conor Gallagher pada separuh masa kedua menentang bekas kelabnya, dengan penyokong Atletico memberi sambutan hangat kepada pemain tengah itu.
Beberapa minit kemudian, mereka kembali bersorak apabila Alvarez menjaringkan gol kelima selepas menerima hantaran Griezmann dalam serangan balas pantas, susulan aksi cemerlang Jan Oblak yang menafikan percubaan Richarlison.
Spurs kemudian menambah satu lagi gol apabila Oblak melakukan kesilapan hantaran yang dipintas Porro sebelum Solanke melepaskan rembatan kencang.
Walaupun menunjukkan peningkatan pada separuh masa kedua, Spurs tetap tidak mampu bangkit pada malam itu. Pasukan itu kini tewas keempat-empat perlawanan sejak Tudor menggantikan Thomas Frank pada Februari dan berada di tangga ke-16 liga.
Pada masa kecederaan, Joao Palhinha dan Cristian Romero bertembung kepala dan kedua-duanya terpaksa dikeluarkan, menambah lagi kebimbangan buat Spurs.
Gol Solanke sekurang-kurangnya memberi sedikit talian hayat dalam saingan ini, tetapi perlawanan liga menentang Liverpool dan Nottingham Forest selepas ini mungkin menjadi keutamaan mereka dalam usaha memastikan kekal di liga utama.
Bagi Atletico pula, mereka masih memasang impian besar untuk akhirnya memenangi Liga Juara-Juara buat kali pertama selepas sekadar muncul naib juara pada 2014 dan 2016.
“Saya sangat gembira, bukan sahaja kerana kemenangan tetapi juga kelebihan tiga gol ini. Namun masih ada 90 minit lagi,” kata Alvarez.
“Mereka melakukan kesilapan, kami tahu bagaimana untuk mengambil kesempatan daripadanya dan kami menekan dengan baik untuk mencipta peluang.”
© New Straits Times Press (M) Bhd






