Ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat telah mendorong kenaikan harga minyak dunia, namun Malaysia mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada paras RM1.99 seliter bagi melindungi rakyat daripada kesan langsung kenaikan tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat walaupun harga pasaran global meningkat ketara akibat konflik geopolitik yang menjejaskan pasaran tenaga dunia.
Beliau yang juga Menteri Kewangan mengakui langkah mengekalkan harga petrol tersebut bukan keputusan mudah memandangkan harga sebenar minyak jauh lebih tinggi berbanding harga yang ditetapkan kerajaan.
“Ini satu keputusan yang sukar tapi (RON95) akan dikekalkan pada paras RM1.99 sen seliter walaupun harga pasaran jauh lebih tinggi dari harga sebenar, apalagi kalau dibanding dengan harga di negara-negara jiran, tiga kali ganda (banding harganya),” katanya pada sidang media khas di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Dalam masa sama, Anwar memberi jaminan bahawa bekalan produk petroleum negara berada pada tahap terkawal walaupun ketegangan di Asia Barat terus berlarutan.
“Pertama, keterjaminan bekalan minyak di Malaysia terkawal. Itu dalam keadaan sangat membanggakan, Alhamdulillah. Bila kita semak dengan PETRONAS, kita dapati bekalan produk petroleum mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026.”
“Ini tentunya berbeza daripada keadaan di kebanyakan negara lain. Sebab itu, saya selalu tekankan mengenai isu tatakelola pengurusan yang cekap, beramanah dan profesional,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan kebajikan rakyat serta kestabilan ekonomi negara terus terpelihara.
Anwar berkata beliau juga telah meminta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memastikan bekalan minyak di pasaran kekal stabil serta mengawal aktiviti penyeludupan.
Selain itu, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan mempengerusikan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menilai kesan ekonomi semasa secara harian dan melaporkan perkembangan kepada kepimpinan kerajaan.
Perdana Menteri menegaskan kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada langkah melindungi rakyat daripada impak kenaikan harga global sambil memastikan keterjaminan bekalan tenaga negara kekal stabil.





