Tiada kompromi dalam halal, hukum syarak

Tiada kompromi dalam halal, hukum syarak

Tiada kompromi dalam halal, hukum syarak


KEJAYAAN sesebuah syarikat memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bukanlah satu pengiktirafan simbolik semata-mata, bahkan mencerminkan komitmen tinggi mereka terhadap pematuhan hukum syarak, kualiti produk dan amanah kepada pengguna.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Halal, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Ustaz Taufik Shamsudin menjelaskan, pihaknya tidak menafikan terdapat persepsi dalam kalangan masyarakat dan industri bahawa permohonan sijil halal sering dikaitkan dengan lambat, susah dan mahal.

“Walaupun ia sering disebut dalam bentuk gurauan, pihak berkuasa halal seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) melihatnya sebagai satu cabaran yang perlu ditangani secara berterusan.

“Justeru, usaha penambahbaikan sistem pengurusan halal sentiasa dilaksanakan agar proses pensijilan menjadi lebih cekap tanpa menjejaskan prinsip syariah,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pensijilan Halal Kyochon yang diadakan di Aeon Mall Tebrau City, Johor Bahru baru-baru ini.

USTAZ TAUFIK

Sebagai langkah proaktif katanya, Jakim sebelum ini menyasarkan tempoh tidak melebihi 30 hari bekerja untuk kelulusan pensijilan halal.

“Pada tahun ini pula, komitmen kami untuk meluluskan SPHM ini dalam tempoh 15 hari bekerja, tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan.

“Penambahbaikan ini dilakukan dengan satu prinsip yang jelas iaitu tiada kompromi dalam hukum syarak,” tegasnya.

Tambahnya, dalam aspek teknikal, ruang toleransi dan penyesuaian masih boleh dipertimbangkan namun jika ia melibatkan hukum halal dan haram, ia kelal sebagai garis merah yang tidak boleh dilanggar.

Jaminan kualiti, bersih dan selamat

Menurut Ustaz Taufik, pensijilan halal bukan hanya berkaitan dengan apa yang dimakan itu halal dari sudut hukum, malah ia juga membawa maksud jaminan kualiti, kebersihan dan keselamatan.

PEMERIKSAAN secara mengejut akan dilakukan bagi memastikan prosedur halal sentiasa dipatuhi. Foto Canva

PEMERIKSAAN secara mengejut akan dilakukan bagi memastikan prosedur halal sentiasa dipatuhi. Foto Canva

“Statistik menunjukkan lebih 2,000 syarikat pemegang sijil halal di Johor dan majoriti daripadanya merupakan syarikat bukan Muslim.

“Ini membuktikan bahasa sijil halal Malaysia ini diiktiraf sebagai tanda aras kualiti dan kredibiliti produk yang merentas agama dan latar belakang,” ujarnya.

Sijil halal hadir bersama amanah

Sambungnya lagi, memperoleh sijil halal bukanlah penamat kejayaan, sebaliknya ia merupakan permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar kepada syarikat berkenaan.

“Setiap syarikat yang menerima sijil halal wajib memastikan jaminan halal dipelihara 24 jam tanpa mengira siang dan malam.

PERMOHONAN halal akan diproses dalam tempoh 15 hari bekerja. Foto Canva

PERMOHONAN halal akan diproses dalam tempoh 15 hari bekerja. Foto Canva

“Antara syarat utama yang perlu dipatuhi termasuklah mempunyai penyelia halal daripada pekerja Muslim bagi memastikan pematuhan halal sentiasa terjaga di peringkat operasi harian,” jelasnya.

Pemantauan demi kepercayaan masyarakat

Bagi mengekalkan integriti SPHM, pemantauan dan penguatkuasaan dilakukan secara berterasan, ujar Ustaz Taufik.

“Kita akan melakukan audit dan pemantauan secara berterusan selepas ini. Pemantauan mengejut akan dilakukan pada bila-bila masa tanpa notis awal.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan jaminan halal benar-benar diamalkan secara konsisten oleh pemegang sijil halal itu,” ujarnya.

Tambahnya, apabila sesebuah premis atau produk menerima sijil halal, pengguna tidak lagi mempersoalkan status halalnya.

“Kepercayaan ini merupakan amanah besar yang mesti dipelihara agar keyakinan masyarakat terhadap sijil halal Malaysia kekal utuh,” katanya.

Ringkasan AI

  • Sijil Pengesahan Halal Malaysia mencerminkan komitmen syarikat terhadap pematuhan syariah, kualiti produk dan amanah kepada pengguna Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa berusaha menambah baik sistem pengurusan halal agar lebih cekap Komitmen terbaharu adalah meluluskan Sijil Pengesahan Halal dalam tempoh 15 hari bekerja dengan syarat pematuhan yang ditetapkan Pensijilan halal bukan hanya tentang kehalalan produk tapi juga menjamin kualiti, kebersihan, dan keselamatan produk Pemegang sijil halal harus memastikan pematuhan halal 24 jam dan pemantauan serta penguatkuasaan dilakukan secara berterusan untuk mengekalkan integriti sijil



Source link

OR

Scroll to Top