PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis menyatakan bahawa Iran tidak sepatutnya menyertai saingan Piala Dunia hanya beberapa hari selepas dia memberitahu Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bahawa pasukan itu dialu-alukan meskipun wujud konflik peperangan di Asia Barat.
“Pasukan bola sepak kebangsaan Iran dialu-alukan ke Piala Dunia, namun saya benar-benar tidak percaya adalah wajar untuk mereka berada di sana, demi nyawa dan keselamatan mereka sendiri,” kata Trump menerusi platform media sosial miliknya, Truth Social.
Kenyataan tersebut hadir hanya dua hari selepas Presiden FIFA, Gianni Infantino memaklumkan bahawa dia telah menerima jaminan daripada Trump bahawa skuad kebangsaan Iran akan dialu-alukan di kejohanan berkenaan, yang mana AS menjadi penganjur bersama Mexico dan Kanada.
Menerusi satu hantaran di Instagram pada Selasa, Infantino berkata: “Kami juga bercakap tentang situasi semasa di Iran, dan hakikat bahawa pasukan Iran telah layak untuk menyertai Piala Dunia Fifa 2026.
“Semasa perbincangan itu, Presiden Trump menegaskan bahawa pasukan Iran sudah pastinya dialu-alukan untuk bertanding pada kejohanan di AS itu.
“Kita semua memerlukan acara seperti Piala Dunia Fifa untuk menyatukan orang ramai sekarang lebih daripada sebelumnya, dan saya amat berterima kasih kepada Presiden AS atas sokongannya, kerana ia membuktikan sekali lagi bahawa bola sepak menyatukan dunia,” katanya.
Sementara itu pada Rabu, Menteri Sukan Iran, Ahmad Donyamali bertegas bahawa Iran tidak akan menyertai Piala Dunia.
Donyamali merupakan wakil kerajaan pertama yang bersuara mengenai isu Piala Dunia sejak AS bersama Israel mula melancarkan serangan bom ke atas Iran awal bulan ini. Bagaimanapun, setakat ini, Iran dan FIFA masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi berhubung status penyertaan negara berkenaan.
Untuk rekod, Iran telah diundi dalam Kumpulan G bersama Belgium, Mesir dan New Zealand pada kejohanan berprestij itu. Ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan mereka dijadualkan berlangsung di AS, dengan dua aksi di Los Angeles dan satu di Seattle.
Ringkasan AI
- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyatakan Iran tidak sepatutnya menyertai saingan Piala Dunia
- Trump sebelum ini memberitahu Presiden FIFA, Gianni Infantino bahawa pasukan Iran dialu-alukan di kejohanan
- Kenyataan Trump berubah hanya dua hari selepas jaminan kepada Infantino
- Menteri Sukan Iran, Ahmad Donyamali menyatakan Iran tidak akan menyertai Piala Dunia
- Iran telah diundi dalam Kumpulan G bersama Belgium, Mesir, dan New Zealand di kejohanan tersebut





