Grab lancar 'Women-Only Rides (Beta)' sempena Hari Wanita

Grab lancar 'Women-Only Rides (Beta)' sempena Hari Wanita


Usaha memperkasa wanita dalam ekosistem mobiliti digital terus diperkukuh apabila Grab Malaysia melancarkan perkhidmatan Women-Only Rides (Beta) serta kempen pengambilan rakan pemandu wanita baharu di seluruh negara.

Inisiatif yang diperkenalkan bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 itu bertujuan memberi lebih pilihan perjalanan yang selesa dan selamat kepada pengguna wanita, selain membuka peluang menjana pendapatan secara fleksibel kepada golongan wanita melalui platform berkenaan.

Perkhidmatan Women-Only Rides (Beta) kini tersedia melalui tempahan awal (Advance Booking) di Lembah Klang. 

Melaluinya, penumpang wanita akan dipadankan dengan rakan pemandu wanita yang disahkan.

Perkhidmatan ini diperkenalkan bagi memenuhi permintaan pengguna dan rakan pemandu wanita yang mahukan pilihan keselamatan tambahan, khususnya ketika melakukan perjalanan bersendirian.

Bagi memastikan integriti platform, penumpang perlu melengkapkan proses pengesahan sekali sahaja menggunakan MyKad atau pasport bersama swafoto bagi pengesahan jantina sebelum boleh mengakses perkhidmatan itu.

Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo berkata, pelancaran berkenaan mengukuhkan komitmen berterusan syarikat dalam memperkasa wanita serta meningkatkan keselamatan pengguna dalam ekosistem mobiliti digital.

Menurutnya, perkhidmatan itu dibangunkan berasaskan infrastruktur keselamatan sedia ada Grab dan pada masa sama memperluaskan inisiatif #SisBoleh yang diperkenalkan sejak 2023.

“Ia bukan sekadar ciri baharu, tetapi usaha memastikan setiap wanita mempunyai ruang yang lebih selamat untuk bergerak dan pada masa sama membuka peluang menjana pendapatan kepada rakan pemandu wanita,” katanya.

Beliau berkata, apabila kepercayaan diperkukuh, ia bukan sahaja memberi keselesaan kepada penumpang wanita malah membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakan pemandu wanita di platform berkenaan.

Pelancaran perkhidmatan itu turut melengkapi langkah keselamatan awam yang lebih meluas seperti gerabak khas wanita dalam pengangkutan awam serta zon parkir khusus wanita, sekali gus memperluaskan perlindungan kepada perjalanan jarak akhir.

Majlis pengumuman itu berlangsung sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa Grab dan turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying, bersama barisan kepimpinan Grab Malaysia serta rakan pemandu wanita platform berkenaan.

Kempen tarik lebih ramai pemandu wanita

Dalam pada itu, Grab turut melancarkan kempen Women Driver Acquisition bagi menggalakkan lebih ramai wanita menyertai platform sebagai rakan pemandu.

Kempen yang berlangsung dari 8 Mac hingga 30 September 2026 itu bertujuan memperluaskan komuniti rakan pemandu wanita di seluruh negara selain menyediakan peluang menjana pendapatan secara fleksibel dalam ekonomi gig.

Melalui kempen berkenaan, rakan pemandu wanita baharu berpeluang menikmati ganjaran keseluruhan bernilai RM100,000 termasuk baucar minyak serta hadiah utama sebuah Proton Saga.

Inisiatif itu juga merupakan kesinambungan kepada program #SisBoleh yang diperkenalkan Grab pada 2023 bagi memperkasa wanita dalam ekosistem tersebut menerusi tiga teras utama iaitu #SisBoleh Drive With Confidence, #SisBoleh LevelUp dan #SisBoleh Community. 

Diperkukuhkan dengan ciri keselamatan platform

Grab turut menegaskan bahawa perkhidmatan Women-Only Rides (Beta) dan kempen pengambilan pemandu wanita itu beroperasi berasaskan rangka keselamatan komprehensif.

Antara ciri keselamatan yang tersedia termasuk saringan keselamatan ketika pendaftaran, pengesahan wajah berasaskan kecerdasan buatan (AI), penyamaran nombor telefon serta fungsi perkongsian perjalanan secara masa nyata.

Selain itu, aplikasi turut menyediakan butang SOS untuk bantuan kecemasan, fungsi AudioProtect yang merakam audio perjalanan pada waktu malam, teknologi pemantauan perjalanan serta penyelesaian telematik bagi menilai corak pemanduan.

Adelene berkata, ciri keselamatan berkenaan beroperasi secara menyeluruh di belakang tabir bagi memastikan setiap perjalanan lebih selamat dan memberi ketenangan kepada pengguna wanita.

“Melalui pendekatan ini, wanita dapat memberi tumpuan kepada destinasi dan matlamat mereka tanpa perlu terlalu bimbang tentang keselamatan perjalanan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top