Apt: Pelumba Colombia, Harold melakukan serangan sejauh 4.5 kilometer sebelum garisan penamat di Apt untuk memenangi peringkat keenam perlumbaan Paris–Nice, manakala Jonas Vingegaard terus mengekalkan kedudukan selesa di puncak keseluruhan.
Vingegaard yang mewakili Visma–Lease a Bike kini mendahului perlumbaan dengan kelebihan 3 minit 22 saat ke atas pelumba Colombia, Dani Martínez dari pasukan Red Bull–Bora–Hansgrohe menjelang dua peringkat terakhir.
“Mereka meramalkan salji lebat. Kami semua mahu sampai ke puncak, tetapi mungkin ia tidak dapat dilakukan,” kata Vingegaard.
Pada peringkat keenam, pelumba Perancis Lenny Martinez melakukan serangan di pendakian terakhir, namun Tejada yang sebelum itu mengejar semula selepas mengalami masalah mekanikal melancarkan serangan balas sebaik melepasi puncak.
Dia berjaya mengekalkan kelebihan ketika menuruni bukit menuju garisan penamat di Apt selepas menamatkan laluan sejauh 179.3 kilometer (km) dari Berbentane di selatan Avignon.
“Saya sangat berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana saya menghadapi banyak masalah dengan basikal,” kata Tejada.
Dia berkata, pengurus pasukan Astana, Alexander Vinokourov yang juga bekas juara Paris–Nice, menasihatinya supaya bersedia menyerang selepas puncak pendakian.
“Beliau menyuruh saya bersedia melancarkan serangan selepas puncak dan ketika menuruni bukit, dan itulah yang saya lakukan.”
Pelumba berusia 28 tahun itu meraih kemenangan kedua dalam kariernya apabila menamatkan perlumbaan enam saat di depan pelumba Perancis, Dorian Godon dari pasukan Ineos Grenadiers yang mengetuai kelompok pelumba pecut.
Kemenangan terdahulu Tejada diraih di perlumbaan Tour of Colombia dua tahun lalu.
“Ia kemenangan WorldTour pertama saya dan saya perlu bersabar serta berusaha keras untuk sampai ke tahap ini,” katanya.
Jika tiada perkara luar jangka berlaku, Vingegaard dijangka mampu mengekalkan kedudukan untuk muncul juara keseluruhan sebelum dua peringkat terakhir.
Cuaca dijangka memainkan peranan besar apabila peringkat Sabtu dipendekkan kepada 120 kilometer daripada laluan asal 138.7km dari Nice dan kini akan berakhir di Isola, bukannya pendakian ke stesen ski Auron seperti dirancang.
Penganjur menjelaskan keadaan cuaca tidak membenarkan penamat peringkat dipindahkan ke lokasi pendakian lain.
Paris–Nice dikenali sebagai ‘Race to the Sun’, namun perlumbaan itu sering berubah menjadi “Race to the Rain”.
Pada 2023, satu peringkat terpaksa dibatalkan akibat angin kencang.
Tahun berikutnya pula penamat di Auron dipindahkan ke Madone d’Utelle, manakala edisi lalu menyaksikan pelumba Australia, Michael Storer menang dalam keadaan bersalji selepas laluan Col de la Colmiane dibuang pada saat akhir.
Untuk dua hari terakhir, cuaca cerah menyinari kelompok pelumba. Namun pada Rabu lalu, pelumba terpaksa berdepan hujan lebat, suhu hampir beku dan angin lintang kuat menuju ke Uchon.
“Ia sebahagian daripada lumba basikal, anda perlu menerimanya walaupun sukar,” kata Vingegaard yang menguasai perlumbaan dalam keadaan hujan dengan memakai lapisan pakaian tambahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






