'Tidak perlu ada pembelian panik' – FAMA

'Tidak perlu ada pembelian panik' – FAMA


bhnews@bh.com.my

Selayang : Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan bekalan barangan sempena sambutan Aidilfitri mencukupi setakat ini.

Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli berkata, selain itu harga bekalan juga terkawal.

“Setakat ini, nada kita sama seperti yang dijawab kementerian iaitu bekalan dan harga Insya-Allah stabil sempena perayaan ini.

“Walaupun berlaku peperangan di luar sana, setakat ini kita boleh katakan ‘so far, so good.’

“Selepas raya atau selepas April nanti, itu perkara di luar jangkaan, tetapi buat masa ini untuk barang-barang utama seperti daging, beras dan sayur, bekalan serta harga masih stabil.

“Jadi, tidak perlu ada pembelian panik,” katanya kepada pemberita pada Program Jualan Agro MADANI (JAM) Pra Syawal di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Anfaal Saari.

Ditanya berkenaan tahap kepatuhan dalam kalangan peniaga dan kawalan harga barangan, Aminuddin berkata, ketika ini tiada lagi sebarang laporan diterima berkenaan isu itu.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa. Setakat ini, kita belum menjumpai lagi sebarang pelanggaran (undang-undang). Rakyat Malaysia kini semakin baik,” katanya.

Sementara itu, berkenaan Program JAM Pra Syawal, beliau berkata ia menampilkan pelbagai pengisian menarik menjelang Aidilfitri dengan Mantai Daging sebagai tarikan utama kepada pengunjung.

Katanya, melalui program itu sebanyak 1,000 kilogram bekalan daging lembu segar ditawarkan kepada orang ramai dengan harga RM30 sekilogram berbanding harga pasaran RM35 sekilogram.

“Ia sekali gus membolehkan penggunaan menikmati penjimatan sebanyak RM5 bagi setiap kilogram.

“Inisiatif ini memberi peluang kepada pengguna mendapatkan bekalan daging segar pada harga berpatutan bagi persiapan juadah Aidilfitri,” katanya.

Aminuddin berkata, selain jualan mantai daging, pengunjung juga berpeluang mendapatkan ayam segar dan ayam pencen yang dijual pada harga Istimewa sepanjang program berlangsung.

Katanya, terdapat juga Kombo MADANI yang menawarkan pakej barangan keperluan asas terpilih pada harga lebih rendah berbanding pasaran bagi membantu pengguna berjimat.

“Program yang berlangsung dari 7.30 pagi hingga 3 petang ini turut menawarkan pelbagai produk agromakanan segar, barangan kawalan serta produk keperluan asas dengan penjimatan antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat,” katanya.

Beliau berkata, program itu turut dijangka menarik kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung yang mewakili 20,000 isi rumah dengan sasaran jualan sebanyak RM150,000 serta penjimatan kepada pengguna dianggarkan mencecah RM45,000.

“Program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan FAMA dalam memastikan rakyat mendapat akses kepada bekalan makanan yang mencukupi pada harga berpatutan.

“FAMA sentiasa komited menyediakan pemasaran yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak iaitu pengguna dan usahawan, sekali gus menyokong usaha kerajaan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Sementara itu, Anfaal berkata, penganjuran Program JAM Pra Syawal itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna melalui penawaran harga lebih rendah, malah memperluaskan pasaran kepada usahawan agromakanan tempatan.

“Pendekatan jualan secara terus daripada usahawan kepada pengguna melalui program seperti ini mampu meningkatkan pendapatan usahawan serta mengurangkan lapisan perantara dalam rantaian pemasaran,” katanya.

Program JAM Pra Syawal menawarkan sebanyak 55 lot jualan membabitkan 29 usahawan tempatan yang turut menjual produk kuih dan kerepek pada harga berpatutan.

Terdahulu, bagi memeriahkan lagi program pengunjung turut berpeluang mendapat rendang ayam secara percuma dan agihan sayur percuma kepada pengunjung terawal.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top