Belia turun padang santuni penduduk Kuala Kangsar menerusi program Sinar Ramadan

Belia turun padang santuni penduduk Kuala Kangsar menerusi program Sinar Ramadan


KUALA KANGSAR: Semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda terus subur menerusi penganjuran program Sinar Ramadan yang berlangsung di Kampung Kuala Kenas dan SMK Sultan Tajul Ariffin, baru-baru ini.

Program anjuran Angkatan Belia MFLS (ABM) Cawangan Negeri Perak dengan kerjasama Kesatuan Pelajar-Pelajar Islam Perak (KPPIP) itu bertujuan memperkukuh keprihatinan sosial belia terhadap masyarakat setempat.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang dua hari program berlangsung, antaranya sumbangan bakul makanan, edaran bubur lambuk, serta aktiviti Ziarah Kasih kepada keluarga yang memerlukan.

Apa yang menarik, penduduk setempat turut menerima Kad Aidilfitri daripada Perdana Menteri sebagai simbolik tanda ingatan dan penghargaan menjelang sambutan Syawal tidak lama lagi.

Menurut Presiden ABM Negeri Perak, Ikhmal Aimin, penglibatan belia dalam program seumpama ini merupakan platform terbaik untuk mereka menghayati nilai kebersamaan.

“Belia turun padang bukan hanya untuk memberi, tetapi untuk belajar, merasai dan menghayati nilai kebersamaan yang menjadi asas kepada gagasan MADANI.

“Ia membuktikan bahawa generasi muda mampu menjadi agen perubahan sebenar dalam masyarakat,” katanya.

Program tersebut turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIPK), Pejabat Exco Belia dan Sukan Negeri Perak, serta Pasar Raya Econsave.

Inisiatif murni ini diharapkan dapat memperkukuh budaya kesukarelawanan serta menyemai nilai-nilai positif dalam kalangan belia di negeri Perak secara berterusan.





Source link

OR

Scroll to Top