Gelabah bila nampak pegawai KPDN

Gelabah bila nampak pegawai KPDN

Gelabah bila nampak pegawai KPDN


harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bila nampak kelibat pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) baru kelam-kabut meletakkan tanda harga barangan dijual.

Itu antara gelagat segelintir peniaga yang diperiksa menerusi Ops Embun di Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Pudu, di sini awal pagi tadi.

Tinjauan di lokasi mendapati rata-rata kedai mempamerkan tanda harga namun masih ada yang tidak mematuhi peraturan berkaitan tanda harga dan mesin penimbang.

Ada juga beberapa peniaga yang dikesan cuba menyorokkan alat penimbang tidak ditentusahkan bagi mengelak dikompaun pihak berkuasa.

Wartawan yang mengikuti operasi bermula 2.30 pagi tadi, mendapati kebanyakan peniaga memberi kerjasama baik kepada pegawai bertugas dan majoriti daripada mereka yang dikompaun mengaku tahu melakukan kesalahan.

Sementara itu Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Sabri Seman berkata, pihaknya mengeluarkan sebanyak 26 kompaun bernilai RM5,800 menerusi operasi itu.

“Bagi operasi hari ini (semalam), kami memeriksa 220 peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur dan 280 peniaga di Pasar Pudu.

“Kesalahan dikesan membabitkan gagal mempamer tanda harga, gagal meletakkan tanda harga merah jambu bagi barang terkawal dan menggunakan alat penimbang yang tidak ditentusahkan,”katanya pada sidang media di Pasar Pudu, di sini, semalam.

Menurutnya, ketiga-tiga kesalahan itu adalah kesalahan serius di bawah undang-undang, khususnya di bawah bidang penguatkuasaan KPDN.

Katanya, operasi itu seiring dengan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri di mana kira-kira 2,000 premis perniagaan di ibu negara sudah diperiksa sejak 19 Februari lalu.

“Kita mendapati terdapat beberapa peniaga yang secara sambil lewa dan sengaja tidak mempamerkan harga. Kita percaya sebahagian daripadanya mungkin berniat untuk mengelirukan pengguna.

“Perkara ini menjadi perhatian serius KPDN. Peringatan diberikan bahawa peniaga tidak boleh sama sekali tidak mempamerkan tanda harga pada bila-bila masa.

“Peniaga juga tidak boleh menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan atau yang telah tamat tempoh sijilnya,” katanya.

Beliau berkata pasukan i-Payment turut hadir menyertai operasi bagi membolehkan peniaga membayar kompaun di lokasi bagi memastikan setiap kesalahan dilakukan tidak dipandang ringan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top