Pernah alami komplikasi jahitan czer terbuka, Ayda Jebat tak serik nak tambah anak lagi

Pernah alami komplikasi jahitan czer terbuka, Ayda Jebat tak serik nak tambah anak lagi


Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat, tidak menolak rezeki sekiranya diberi peluang untuk menambah zuriat, meskipun baru sahaja melahirkan anak ketiga pada Januari lalu.

Memetik laporan Berita Harian, menurut Ayda, jumlah anak adalah perkara subjektif yang bergantung kepada perancangan dan kemampuan setiap pasangan, dan tidak wajar dibandingkan dengan orang lain, termasuk selebriti.

Nak tambah anak lagi

“Perkara berkaitan anak ini sangat subjektif mengikut perancangan masing-masing. Saya hanya menyerahkan segalanya kepada Allah. Kalau ada rezeki, saya tidak menolak, malah saya dan suami memang ada perancangan juga.
“Kami sudah bertanya doktor tentang keadaan selepas melahirkan anak ketiga ini. Doktor beritahu saya masih muda, jadi kalau mengandung lagi tiada masalah atau komplikasi,” katanya di Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX), baru-baru ini.

Ayda menambah, dia dan suami, Nabil Mahir, buat masa ini tidak terlalu memikirkan soal menambah anak, sebaliknya memberi fokus kepada proses pemulihan dirinya dahulu.

“Saya trauma juga dengan insiden luka pembedahan bersalin yang terbuka tempoh hari. Tapi mana tahu, sekarang rasa trauma, mungkin dua atau tiga tahun lagi perasaan itu sudah hilang.
“Sebelum ini, anak pertama dan kedua tiada masalah. Cuma anak ketiga ini agak mencabar, tetapi bagi saya itu tetap rezeki,” jelasnya,

Ayda turut menyatakan bahawa dia memahami situasi pasangan lain yang berdepan cabaran berbeza dalam usaha mendapatkan zuriat.

“Saya faham ada pejuang garis satu dan garis dua, masing-masing ada cabaran serta faktor yang perlu difikirkan dan diselesaikan,” tambahnya lagi.

Artikel lain: Ayda Jebat alami komplikasi, jahitan czer terbuka dan bernanah

Selain itu, Ayda menegaskan bahawa dia menghormati keputusan setiap pasangan kerana ia bergantung kepada situasi dan keutamaan masing-masing.

Ayda Jebat mendirikan rumah tangga dengan Nabil pada 1 Januari 2021, dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ana Nayla, Aali Mateen, dan Anggun Mikayla, yang dilahirkan pada 26 Januari lalu.

Sumber: Berita Harian (Affan Rostam)





Source link

OR

Scroll to Top