Malaysia NT teliti saluran perundangan sewajarnya

Malaysia NT teliti saluran perundangan sewajarnya

Malaysia NT teliti saluran perundangan sewajarnya


PENGURUSAN skuad Harimau Malaya (Malaysia NT) mengesahkan sedang meneliti tindakan susulan melalui saluran perundangan yang sewajarnya berhubung keputusan Jawatankuasa Tatatertib dan Etika Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang mengenakan hukuman pemotongan mata terhadap pasukan negara dalam kempen Kelayakan Piala Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia NT, Rob Friend berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan AFC tersebut dan menegaskan bahawa setiap langkah seterusnya akan dibuat mengikut prosedur yang betul.

“Kami menghormati proses peraturan pertandingan yang telah ditetapkan oleh pihak AFC.

“Namun, pada masa yang sama, perkara ini (hukuman pemotongan mata) sedang diteliti melalui saluran perundangan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, AFC telah mengisytiharkan Malaysia kalah dengan jaringan 0-3 pada perlawanan menentang Vietnam dan Nepal susulan menurunkan pemain tidak sah.

Pemain tersebut ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang disahkan terpalit isu pemalsuan dokumen.

Berdasarkan keputusan asal perlawanan terbabit, Malaysia menang 2-0 ke atas Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, 25 Mac 2025 dan menewaskan Vietnam 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 10 Jun 2025.

Walaupun berdepan dengan situasi mencabar itu, Friend menjelaskan keutamaan pihak pengurusan ketika ini tidak berubah iaitu memastikan kebajikan dan mentaliti pemain serta kakitangan pasukan tetap terjaga.

Menurut beliau, sokongan moral terhadap kem negara adalah penting bagi memastikan fokus pasukan tidak terjejas untuk terus membawa cabaran Malaysia di pentas antarabangsa.

“Keutamaan kami kekal jelas untuk menyokong para pemain dan kakitangan, serta memastikan mereka berada dalam keadaan terbaik bagi mewakili Malaysia dengan profesionalisme, perpaduan dan kebanggaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua pihak untuk terus memberikan kepercayaan penuh kepada pasukan yang kini sedang dalam fasa persiapan bagi menghadapi perlawanan menentang Vietnam dalam perlawanan terakhir kempen kelayakan itu.

Friend optimis bahawa skuad negara mampu mengekalkan momentum cemerlang yang telah dipamerkan sepanjang tahun 2025 meskipun diuji dengan isu luar padang.

“Tumpuan kami kini sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi perlawanan akan datang menentang Vietnam. Pasukan akan beraksi dengan keyakinan, ketahanan dan disiplin yang sama seperti yang telah ditunjukkan sepanjang tahun ini.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para penyokong atas sokongan dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi terhadap pasukan negara,” katanya.

Ringkasan AI

  • Pengurusan skuad Harimau Malaya sedang meneliti tindakan susulan melalui saluran perundangan berkaitan hukuman pemotongan mata oleh AFC
  • Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia NT, Rob Friend memastikan setiap langkah seterusnya akan dibuat mengikut prosedur yang betul
  • AFC mengisytiharkan Malaysia kalah dalam perlawanan menentang Vietnam dan Nepal akibat menurunkan pemain tidak sah
  • Keutamaan pengurusan adalah memastikan kebajikan dan mentaliti pemain serta kakitangan pasukan tetap terjaga
  • Friend menggesa sokongan moral dan kepercayaan kepada pasukan yang sedang bersiap sedia menghadapi Vietnam



Source link

OR

Scroll to Top