norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Muaz Zabir, 29, mendedahkan pengalamannya pernah menunggu seorang pelakon senior di set penggambaran selama lapan jam berikutan individu itu datang lewat ke lokasi.
Muaz atau nama sebenar Muaz Mohamad Zabir berkata, sebagai pelakon baharu ketika itu dia berasa dirinya tiada hak bersuara dan terpaksa membiarkan sahaja perkara berkenaan.
“Lapan jam kena tunggu artis senior yang datang lambat ke set penggambaran. Nak bersuara pun masa itu, saya fikir diri masih baru dan belum begitu faham mengenai industri.
“Jadi, sabar sajalah walaupun jadual kerja saya berganjak. Apatah lagi, pelakon itu watak utama dan sudah semestinya kena pastikan karekter dia yang dibuat dulu,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Mengulas lanjut isu datang lewat, Muaz berkata, dia akan sentiasa cuba datang ke set penggambaran lebih awal kerana sangat menghormati masa orang lain serta mahu memastikan proses kerja lancar.
“Saya pun baru tiga tahun aktif berlakon dalam industri. Maka tak naklah buat masalah. Alhamdulillah, setakat ini saya tidak pernah lagi datang lambat dan tiada aduan terhadap disiplin saya.
“Dari segi mengatur masa, saya sendiri memang tak suka datang lambat dan buat orang lain pula kena menunggu saya. Mesti nanti, suasana kerjanya pun sudah tidak ‘best’ (seronok).
“Bagaimanapun, saya sendiri juga akan berasa cemas dan berpeluh-peluh kalau tahu ada orang tunggu saya di set. Jadi, lebih baik saya berusaha tepati masa sahaja,” katanya.
Pelakon asal Negeri Sembilan ini berkata, seseorang pelakon sama ada baharu atau lama sepatutnya perlu sentiasa memastikan datang mengikut waktu ditetapkan ke set penggambaran.
Difahamkan, baru-baru ini seorang pelakon senior meluahkan perasaan kesal dan kecewa terhadap pelakon baharu yang didakwa sampai lambat ke set penggambaran hingga orang lain terpaksa menunggu lama.
© New Straits Times Press (M) Bhd






