WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump sedang membuat persediaan terperinci untuk mengerahkan tentera darat Amerika Syarikat (AS) ke Iran, menurut laporan yang diterbitkan semalam.
Langkah itu dilaporkan sehari selepas Trump berkata kepada pemberita dalam sidang akhbar, “Tidak, saya tidak menghantar tentera ke mana-mana,” tetapi menambah, “Kalau saya mahu, tentu saya tidak akan beritahu kamu.”
Laporan CBS News menyebut pegawai tentera kanan mengemukakan permintaan khusus bagi menyediakan penempatan tentera darat AS di Iran, selaras dengan koordinasi presiden bersama Israel mengenai penggunaan bersama sumber ketenteraan AS dan Israel.
“Adalah tugas Pentagon untuk membuat persiapan bagi memberikan Pilihan Maksimum kepada Panglima Tertinggi; ia tidak bermakna Presiden telah membuat keputusan, dan seperti yang Presiden nyatakan di Pejabat Oval semalam, beliau tidak merancang untuk menghantar tentera darat ke mana-mana buat masa ini,” kata jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt dalam kenyataan.
Selain kemungkinan penggunaan tentera darat AS, laporan itu menyatakan pegawai ketenteraan mengadakan mesyuarat bagi menyediakan prosedur menangani tawanan perang sekiranya tentera Iran dan anggota separa tentera ditahan, termasuk lokasi penahanan mereka.
Sementara Trump menimbang kemungkinan penempatan tentera darat AS, Iran terus menyerang infrastruktur minyak di rantau Teluk, termasuk serangan dron pada Jumaat ke atas kemudahan tenaga yang mengenai sebuah loji penapisan minyak di Kuwait, menurut laporan media.
Iran juga menembak peluru berpandu ke sasaran di Israel, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.
Sekitar 4,000 anggota tentera AS kini dikerahkan ke Iran, termasuk 2,500 anggota Marin, menurut laporan Newsmax.
Pasukan itu ditempatkan di atas tiga kapal amfibia, yang membawa pesawat pejuang F-35, peluru berpandu dan kenderaan amfibia yang boleh dilancarkan dari kapal untuk serangan darat.
Data terkini yang dikeluarkan tentera AS menunjukkan 13 anggota tentera telah terbunuh dalam perang setakat ini dan 200 lagi cedera, walaupun tiada pasukan ditempatkan di darat.- ANADOLU






