Barcelona: Ronald Araujo memastikan Barcelona terus unggul di puncak La Liga selepas menewaskan Rayo Vallecano 1-0 di Camp Nou, awal pagi tadi.
Gol tunggal perlawanan hadir pada minit ke-24 hasil tandukan Araujo dari sepakan penjuru Joao Cancelo. Penjaga gol Barcelona, Joan Garcia, turut tampil cemerlang dengan beberapa penyelamatan penting bagi memastikan kemenangan.
Araujo, yang baru kembali selepas cuti rehat berkaitan kesihatan mental, diberikan peluang oleh jurulatih Hansi Flick di posisi pertahanan kanan selepas Eric Garcia direhatkan kerana masalah otot.
“Saya rasa sangat baik, secara fizikal pun okay, penting saya dapat membantu pasukan. Saya sentiasa bersedia untuk membantu,” kata Araujo.
Barcelona hampir menggandakan kedudukan selepas rehat, namun beberapa peluang termasuk dari bintang muda Lamine Yamal dan Raphinha gagal disempurnakan, manakala Rayo hampir menyamakan kedudukan namun Joan Garcia menafikan setiap percubaan.
Flick memuji Rayo dan jurulatih mereka, Inigo Perez atas persembahan mantap, sambil menegaskan kepentingan kemenangan menjelang rehat antarabangsa.
Dalam aksi lain, Alaves bangkit dari ketinggalan tiga gol untuk menewaskan Celta Vigo 4-3, melonjak ke tangga ke-16, tiga mata di atas zon penyingkiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd






