Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi berkongsi momen sambutan Aidilfitri penuh syahdu bersama keluarga besarnya termasuklah pasangan selebriti, Norman Hakim dan Memey Suhaiza.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Abby atau nama lengkapnya, Arbaiyah Abdul Manan memuat naik momen dimana Norman mengucapkan terima kasih kepada anak-anak kerana hadir dalam hidup mereka.
Dalam masa sama, di ruangan kapsyen, Abby turut menitipkan pesanan buat anak-anak untuk sentiasa mengingati bahawa doa mereka sebagai ibu bapa sentiasa mengiringi ketika berdepan sebarang ujian.
Bagaimanapun, aktres filem Gerak Khas The Movie ini turut berharap agar anak-anak kembali ke pangkuan keluarga seandainya mereka tidak mampu menanggung ujian yang menimpa.
“Anak-anak kalau suatu hari nanti mama, abah, papa, mummy tak lagi mampu memegang tanganmu sekuat hari ini, ingatlah setiap langkahmu pernah kami doakan.
“Anak-anak, hidup ini tak selalu indah. Akan ada hari kamu jatuh, kecewa, rasa sendirian tapi percayalah doa kami sentiasa mengiringi.
“Walau kami tak mampu lindungi kamu setiap masa, kami tak pernah berhenti meminta Allah jaga kamu-kamu semua.
“Kalau suatu hari nanti kamu rasa dunia ini berat, pulanglah. Pelukan kami mungkin tak mampu menyelesaikan segalanya, tapi cukup untuk buat kamu rasa rumah dan tempat berlindung masih ada,” katanya.





