PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski memilih untuk kekal positif meskipun skuad kebangsaan berdepan tamparan hebat apabila jatuh ke kedudukan ke-135 dunia dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Beliau menegaskan bahawa dalam tempoh setahun, skuad negara sebenarnya berada di landasan yang tepat dan beliau lebih gemar memfokuskan kepada aspek yang mampu dikawal oleh barisan kejurulatihan serta pemain.
“Ya, sudah tentu dalam tempoh 12 bulan terakhir ini, kami sedang menuju ke arah yang betul.
“Sekali lagi, apa yang mampu kami kawal adalah cara kami berlatih, cara kami bermain, bagaimana kami menganalisis pihak lawan dan corak permainan kami, serta bagaimana kami boleh terus memajukan bola sepak kami.
“Jadi, segala-galanya di bawah kawalan kami telah dilaksanakan dengan cara yang betul. Memang diakui, perkara di luar padang sedikit sebanyak memberi kesan kepada kami. Ia bagaikan satu (halangan) dan sesuatu yang negatif.
“Bagaimanapun, saya percaya dalam setiap kisah yang hebat, pasti ada ujian dan kami perlu biasakan diri,” katanya.
Sebelum ini, FIFA mengumumkan ranking Harimau Malaya jatuh 14 anak tangga ke kedudukan ke-135 dunia selepas AFC membatalkan dua kemenangan dalam aksi Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam dan Nepal.
Ia susulan isu pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan yang tidak sah iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Cklamovksi juga percaya Harimau Malaya masih mempunyai ruang yang luas untuk bangkit dan kembali mengejar sasaran kelompok 100 dunia dalam masa terdekat.
Ringkasan AI
- Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski, kekal positif meskipun ranking jatuh ke-135 dunia
- Beliau menekankan fokus pada aspek yang boleh dikawal seperti latihan dan strategi bermain
- Menyatakan dalam tempoh setahun, skuad negara berada di landasan yang tepat
- Jatuhnya ranking disebabkan oleh pembatalan dua kemenangan akibat isu pemalsuan dokumen pemain warisan
- Cklamovski yakin Harimau Malaya ada ruang untuk bangkit dan mengejar sasaran top 100 dunia






