Pelakon jelita, Puteri Sarah Liyana secara terbuka menyokong tindakan wanita yang berdepan ujian rumah tangga untuk tampil kemas dan cantik ketika hadir ke mahkamah bagi urusan perceraian.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Puteri Sarah berkongsi pengalaman peribadinya yang memilih untuk mengenakan pakaian berona cerah seperti putih dan merah jambu sepanjang melalui tempoh sukar itu.
Menurut pelakon drama bersiri Suri Hati itu, dia juga tidak ketinggalan mengenakan solekan nipis bagi menampilkan wajah yang segar walaupun sedang berdepan kesedihan.
“Saya suka. Masa saya dulu, saya rasa tak perlu pakai hitam. Untuk apa? Jadi setiap hari saya pilih warna putih, merah jambu, kuning lembut dan pakai solekan,” katanya.
Kenyataan itu dikongsikan sebagai respon kepada pertanyaan seorang wanita di Threads yang meminta pandangan orang ramai tentang penampilan sesuai ketika menghadiri prosiding perceraian.

Sekadar info, Puteri Sarah pernah mendirikan rumah tangga bersama pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof pada 8 Mac 2014, namun mereka sah bercerai talak satu pada 14 Jun 2023.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 9, dan Sumayyah, 7 tahun.





