PETALING JAYA: Sebanyak 15 kes penyakit berkaitan cuaca panas termasuk satu kematian direkodkan di seluruh negara setakat tahun ini, menurut Kementerian Kesihatan.
Kementerian dalam kenyataan memaklumkan, bagi tempoh 1 Januari hingga 24 Mac, sebanyak 11 kes kelesuan haba, tiga kes strok haba dan satu kes kekejangan haba telah dilaporkan.
“Semua kes telah pulih kecuali satu kes strok haba melibatkan seorang kanak-kanak yang terperangkap dalam kenderaan tanpa pengetahuan ibu bapa dan meninggal dunia akibat strok haba,” katanya hari ini.
Menurut kementerian itu, cuaca panas boleh memberi risiko kesihatan serius kepada orang ramai, dengan penyakit berkaitan haba merangkumi keadaan ringan sehingga kes yang boleh membawa maut.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan risiko kesihatan ketika cuaca panas, termasuk memastikan pengambilan air mencukupi dan mengelakkan pendedahan berpanjangan kepada suhu tinggi.
“Individu yang terdedah kepada cuaca panas dalam tempoh berpanjangan berisiko mengalami penyakit berkaitan haba,” menurut kenyataan itu.
Tambah kementerian, golongan seperti kanak-kanak, warga emas, individu dengan penyakit kronik, pekerja yang terdedah kepada persekitaran panas serta mereka yang melakukan aktiviti fizikal ketika cuaca panas berisiko lebih tinggi untuk mengalami komplikasi serius.
Menurutnya, antara simptom penyakit akibat haba melampau termasuk sakit kepala, keletihan, kurang tumpuan, pening, kelemahan atau kekejangan otot serta loya.-UTUSAN





