Syahir positif kehadiran muka baharu

Syahir positif kehadiran muka baharu


sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tekong nombor satu negara, Syahir Rosdi berkata skuad sepak takraw negara kini berada dalam fasa peralihan selepas beberapa pemain baharu dibawa masuk ke dalam pasukan, sekali gus bakal menjadi pesaing utama buat pemain senior.

Jelas Syahir, kehadiran pemain baharu ini sudah pasti membuatkan corak latihan serta perancangan pasukan sedikit berubah namun dia dan rakan-rakan akan tetap memberi komitmen agar mampu menghasilkan keputusan positif.

“Pemain baharu memberi impak positif. Ia mewujudkan persaingan sihat serta menambah pengalaman. Kami boleh berkongsi ilmu dan mereka juga dapat belajar.

“Setiap perlawanan berbeza, jadi bersama-sama kami sedang membina pasukan yang lebih kuat,” katanya.

Ketika ini pemain tinggi lampai itu sedang membuat persiapan menghadapi Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw pada Mei depan selain fokus utama sudah pasti terarah kepada Sukan Asia Aichi-Nagoya dari 19 September hingga 4 Oktober.

Pada perkembangan sama, pemain berusia 30 tahun itu memilih untuk beraya secara sederhana dan tidak mahu makan mengikut nafsu bagi memastikan tahap kecergasannya berada pada tahap terbaik.

Baginya, makanan pada Hari Raya Aidilfitri sangat menarik dengan pelbagai juadah dihidangkan namun sekiranya dia terus makan dalam kuantiti banyak, sudah pasti ia akan memberi kesan kepada prestasinya selepas ini.

“Jika dilihat dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini, Piala Dunia adalah antara pentas paling mencabar buat kami sebelum menuju ke Sukan Asia.

“Jurulatih hanya memberi empat hingga lima hari cuti raya, jadi dalam tempoh itu kami perlu mengawal pemakanan dengan baik. Latihan memerlukan disiplin tinggi. Latihan dijalankan pada waktu petang dan bersambung selepas tarawih.

“Jadual kami dari 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang, jadi persiapan ke Piala Dunia agak mencabar. Insya-Allah, dengan keberkatan Ramadan, kami terus berlatih seperti biasa. Pada sebelah petang, sesi latihan agak berat termasuk larian selama 40 minit di gimnasium, jadi kami perlu memaksa diri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top