Kementerian Pertahanan memaklumkan bahawa beberapa insiden letupan telah berlaku di kawasan operasi berhampiran Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Selatan Lubnan susulan ketegangan antara Israel Defense Forces (Israel Defense Forces) dan Hezbollah.
Keselamatan anggota jadi keutamaan
Walau bagaimanapun, tiada anggota Batalion Malaysia (MALBATT 850-13) yang terlibat atau tercedera.
Menterinya, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan, menerusi Markas Angkatan Bersama telah menegaskan bahawa keselamatan anggota kekal menjadi keutamaan dan perkembangan semasa sentiasa dipantau.
“Keselamatan anggota kekal menjadi keutamaan,” ujarnya.

Terus berada dalam kesiapsiagaan rapi
Dalam pada masa yang sama, Markas UNIFIL di Naqoura turut memantau keadaan secara berterusan serta mengeluarkan arahan kepada semua pasukan pengaman agar sentiasa berjaga-jaga.
Langkah keselamatan tambahan juga telah dilaksanakan termasuk rondaan berjadual, situational awareness serta komunikasi rapi antara unit.
Susulan daripada itu, MALBATT 850-13 terus melaksanakan tugasan di Kawasan Tanggungjawab dengan tahap kesiapsiagaan yang tinggi.
“Kementerian Pertahanan melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau situasi semasa serta bekerjasama rapat dengan pihak UNIFIL dan rakan pasukan pengaman lain bagi memastikan keselamatan anggota sentiasa terpelihara serta tugasan yang diamanahkan terus dilaksanakan dengan baik,” tambahnya.






