PETALING JAYA: Skuad berbasikal negara bermula dengan langkah kanan apabila membawa pulang dua pingat pada hari pertama saingan Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) yang diadakan di Filipina, hari ini.
Davia Evriel Eriana Azif, Nur Umairah Qhaisara Zulfikha dan Sawda Hasbullah menghadiahkan pingat pertama negara selepas meraih gangsa dalam acara pecut berpasukan wanita junior setelah menewaskan trio dari Taiwan.
Pingat emas dimenangi wakil dari Korea Selatan manakala perak menjadi milik India.
Bagi saingan pecut berpasukan wanita elit pula menyaksikan trio negara yang dibarisi Anir Amira Rosidi, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Nur Alyssa Mohd Farid meraih perak selepas terpaksa akur dengan kehebatan wakil dari China manakala gangsa menjadi milik Korea Selatan.
Bagaimanapun, situasi berbeza menimpa trio elit lelaki negara apabila Mohd Akmal Nazimi Jusena, Muhammad Ridwan Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis menamatkan saingan di kedudukan keempat selepas tumpas kepada Hong Kong.
China memenangi pingat emas manakala perak diraih oleh Jepun. – UTUSAN





