“Ketipak Ketipung sudah ada benchmark”, demikian respons penyanyi berbakat, Aisha Retno selepas ditanya mengenai sambutan lagu raya ciptaannya berjudul ‘Jodoh Lebaran’ yang semakin mendapat tempat di hati peminat.
Kata Aisha, dia bersyukur apabila lagunya itu diterima masyarakat apatah lagi lagu berkenaan diinspirasikan berdasarkan kisah tentang pencarian jodoh di hari lebaran.
Mengulas kejayaan lagu tersebut, Aisha mengakui memberi tekanan kepada diri sendiri untuk tampil dengan lagu raya baharu selepas kejayaan lagu terdahulu sekali gus mengucapkan terima kasih kepada semua peminatnya yang tidak henti-henti memberikan sokongan sehingga lagu berkenaan meraih tontonan lebih 4 juta di Youtube.
“Jodoh Lebaran sebab ramai orang cakap, di hari raya ni kita mencari jodoh bukan sahaja pada pasangan tetapi rezeki, kesihatan dan semua ada anugerahnya di Hari Raya.
“Jadi Aisha buatlah Jodoh Lebaran yang menceritakan tentang seseorang wanita ini yang ingin mendapatkan pasangan di Hari Raya.
“Alhamdulillah. Saya nak ucapkan terima kasih juga kepada kawan-kawan media yang selalu sokong lagu saya.
“100% idea daripada saya dan lagu ini diproduksi bersama dengan adik saya. Kita tulis lagu ni sebenarnya nak dekat bulan Ramadan.
“Alhamdulillah ramai berkata lagu Ketipak Ketipung sudah ada benchmark. Jadi, saya pressure diri sendiri untuk keluarkan lagu raya baharu lagi.
“Tetapi yang paling penting sekarang adalah bagaimana nak buat lagu itu jadi evergreen,” katanya.
Dalam pada itu, Aisha atau nama lengkapnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, berkongsi tentang kekuatan yang perlu ada pada sesebuah lagu raya.
“Bagi saya, itu sebenarnya umum sebab kebanyakan orang yang keluarkan lagu raya ni atas modal mereka sendiri. Jadi apa salahnya memeriahkan lagi industri dengan lagu raya.
“Tapi pada akhirnya, sudah tentu kita nak melestarikan industri muzik lagu raya ni dengan lebih baik. Kalau boleh kita menimba ilmu dulu sebelum keluarkan lagu.
“Berhati-hati sebab lagu raya ni evergreen, jadi akan didengarkan setiap tahun. Kalau boleh berhati-hati dalam menulis lagu,” jelasnya.
Ditanya mengenai soal hati pula, Aisha mengakui kini lebih memberikan fokus kepada kerjaya, namun tidak menolak sekiranya dipertemukan dengan jodoh yang juga merupakan rakan industri.
“Kalau ada yang mendekati, saya perlu kenal dahulu.
“Kalau dia serius, kita teruskan. Kalau belum bersedia, tidak mengapa,” ujarnya.






