Nilai semula tabiat penggunaan air harian

Nilai semula tabiat penggunaan air harian


AIR merupakan sumber asas yang sering dianggap sentiasa tersedia dalam kehidupan seharian.

Setiap hari, ia digunakan untuk pelbagai keperluan seperti mandi, memasak dan membersihkan rumah tanpa memikirkan proses panjang sebelum air bersih itu sampai ke kediaman.

Hakikatnya, air terawat yang mengalir dari paip bukanlah sesuatu yang muncul secara semula jadi.

Ia perlu melalui beberapa proses penting bermula daripada pengambilan air mentah di empangan, rawatan di loji rawatan air, sebelum diagihkan melalui rangkaian paip yang luas kepada pengguna.

Proses ini memerlukan penggunaan tenaga, kepakaran teknikal serta infrastruktur yang besar bagi memastikan bekalan air bersih terus terjamin setiap hari.

Namun dalam rutin harian, terdapat tabiat kecil yang kadangkala tidak disedari boleh menyumbang kepada pembaziran air. 

Sebagai contoh, membiarkan paip mengalir ketika memberus gigi atau bersabun di bilik mandi mungkin kelihatan perkara biasa, namun tindakan itu boleh menggunakan kira-kira enam liter air setiap minit.

Dalam tempoh sebulan, jumlah ini boleh mencecah ratusan liter air yang terbuang tanpa disedari.

Selain itu, kebocoran kecil di rumah juga boleh menyebabkan pembaziran yang ketara jika tidak dikesan lebih awal.

Paip yang menitis walau hanya satu titisan setiap saat berpotensi membazirkan lebih daripada 11,000 liter air setahun.

Situasi ini bukan sahaja meningkatkan bil air, malah memberi tekanan tambahan kepada sistem bekalan air yang perlu merawat serta menyalurkannya kepada pengguna.

Di kawasan awam pula, kebocoran paip kadangkala berlaku tanpa disedari atau tidak dilaporkan segera. 

Ada yang mungkin pernah melihat air memancut dari paip di tepi jalan atau bertakung berhampiran longkang, namun menganggap pihak lain telah membuat laporan. 

Hakikatnya, penglibatan masyarakat sebenarnya penting dalam membantu mengenal pasti masalah ini lebih awal.

Pada tahun 2025 sahaja, lebih 96,000 kebocoran berjaya dibaiki dan sebahagian daripadanya dikenal pasti hasil laporan orang awam.

Dalam masa sama, kesedaran mengenai penggunaan air di peringkat isi rumah juga semakin penting.

Sasaran penggunaan air kebangsaan yang ditetapkan ialah 180 liter per kapita sehari menjelang tahun 2030. 

Namun ketika ini, purata penggunaan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih berada pada tahap sekitar 238 liter per kapita sehari, menunjukkan masih terdapat ruang memperkukuh amalan penggunaan air secara lebih berhemah.

Dalam usaha mengawal penggunaan, pemeriksaan meter pada waktu malam boleh menjadi langkah mudah untuk mengesan kemungkinan kebocoran dalaman. 

Jika bacaan berubah walaupun tiada penggunaan air, ia mungkin menandakan berlakunya kebocoran dalam premis. 

Selain itu, pelanggan juga boleh memantau trend penggunaan air melalui ciri “Liter per Kapita (LCD)” yang disediakan dalam aplikasi Air Selangor 2.0.

Langkah kecil seperti menutup paip ketika memberus gigi, memeriksa kebocoran paip atau memantau penggunaan air di rumah juga sebenarnya mampu memberi impak besar dalam jangka panjang.

Persoalannya, sejauh mana masyarakat benar-benar menggunakan air secara bijak dalam kehidupan seharian?

Bersempena sambutan Hari Air Sedunia pada 22 Mac, orang awam diseru untuk menilai semula tabiat penggunaan air dalam kehidupan seharian menerusi kajian yang dianjurkan Air Selangor di sini.

 

Loading…

Luangkan sedikit masa dan ketahui sekiranya tabiat penggunaan air anda berada di landasan yang betul.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top