Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh tampil mempersoalkan keputusan kerajaan menurunkan had siling BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, meskipun langkah itu dikatakan tidak menjejaskan 90% rakyat.
Keputusan tak gambarkan realiti sebenar
Menerusi satu perkongsian di Facebook, beliau menyifatkan keputusan tersebut perlu dilihat secara lebih menyeluruh kerana angka peratusan tidak menggambarkan realiti sebenar kehidupan rakyat yang terkesan.
“Apabila PMX memaklumkan kepada kita semua bahawa penurunan kuota liter ini tidak menjejaskan 90% rakyat, maka kita harus bertanya satu soalan yang lebih jujur:
“Siapa 10% yang terpaksa terjejas kehidupannya?” soalnya.
Kelompok 10% adalah golongan rakyat biasa
Menurutnya, golongan 10% yang dimaksudkan bukanlah kelompok berada, sebaliknya terdiri daripada rakyat biasa yang berdepan kekangan hidup termasuk mereka yang tinggal jauh dari tempat kerja dan perlu berulang-alik setiap hari.
“Jangan kita selesa dengan angka. Sebab dalam politik, angka mungkin boleh menenangkan pentadbiran tapi tidak semestinya menenangkan kehidupan rakyat.
Akmal turut menggambarkan golongan ini sebagai individu yang bekerja keras demi kelangsungan hidup, termasuk pasangan yang terpaksa berjauhan demi mencari rezeki.
“Jelas sekali, tambahan 100 liter itu bukan kemewahan. Itu ruang bernafas. Bila ruang itu dipotong, jangan terkejut kalau hidup mereka jadi semakin sempit,” ujarnya.

Beliau menegaskan isu tersebut bukan sekadar perbandingan majoriti dan minoriti, sebaliknya melibatkan soal keadilan kepada golongan yang paling terkesan.
“Saya nak cakap terus terang – ini bukan soal 90% vs 10%. Ini soal keadilan,” katanya lagi.
Harap kerajaan lebih peka
Dalam masa sama, Akmal mengingatkan kerajaan agar lebih peka terhadap keadaan semasa memandangkan tekanan kos sara hidup semakin meningkat.
“Jangan kerana mereka kecil dalam statistik, kita besar dalam mengabaikan mereka.
Beliau turut mencadangkan agar lebihan keuntungan daripada sektor minyak dapat dimanfaatkan semula untuk membantu rakyat, khususnya golongan yang terkesan.
“Jadi saya ulang sekali lagi, dengan penuh tanggungjawab:
Apa perancangan kerajaan untuk golongan 10% yang terjejas ini?
Tak ada niat politikkan isu
Akmal bagaimanapun menegaskan beliau tidak berniat mempolitikkan isu tersebut, sebaliknya mahu memastikan suara golongan yang terhimpit terus diberi perhatian.
“Kita boleh berbeza pendapat, ataupun pendekatan. Tapi jangan sampai hilang rasa. Kerana akhirnya, yang kita urus bukan angka, tetapi kehidupan manusia,”

Sebelum ini, Anwar telah mengumumkan penyelarasan harga minyak termasuk subsidi RON95 dimana had siling diturunkan kepada 200 liter.
Perkara ini susulan konflik yang berlaku di Asia Barat dan langkah tersebut merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk memastikan bekalan minyak berterusan dalam tempoh yang agak panjang.
Sumber: Facebook Akmal Saleh






