Kejayaan dapat tajaan pendidikan PETRONAS tingkat semangat pelajar

Kejayaan dapat tajaan pendidikan PETRONAS tingkat semangat pelajar


Kuala Lumpur: Dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang berdaya saing, mampan, berinovasi serta mampu memberi sumbangan kepada negara, PETRONAS meneruskan komitmen menganugerahkan tajaan pendidikan kepada pelajar menerusi inisiatif ‘Memperkasakan Ilmu’.

PETRONAS percaya, pendidikan adalah ‘alat ‘ rantaian untuk memperkasakan komuniti bagi meningkatkan taraf dan keupayaan hidup mereka, dengan matlamat memperkayakan kehidupan dan memajukan negara ke hadapan.

Sejajar dengan Agenda Kelestarian PETRONAS dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) 4 untuk melahirkan pemimpin yang akan mencipta impak sosial yang positif dengan memberikan peluang pendidikan berkualiti.

Bersempena dengan ulang tahun ke-50, PETRONAS kekal komited untuk terus memperkasakan ilmu dalam meneruskan kesinambungan warisan demi masa depan bersama. 

Ia diakui sendiri oleh penerima tajaan, Akif Ibrahim, 18, apabila PETRONAS berjaya membuka matanya untuk mencapai impian menjadi jurutera menerusi tawaran penajaan pendidikan PETRONAS bagi mereka yang benar-benar layak.

“Kejayaan mendapat tawaran ini bukan mudah kerana pelajar perlu memenuhi syarat kelayakan. Selain daripada keputusan akademik yang cemerlang, aktif dalam kokurikulum juga penting kerana ia menambah nilai kepada pelajar itu.

“Disebabkan itu, selain berjaya memperoleh 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya juga aktif dalam kokurikulum dan pertandingan hafazan,” kata bekas pelajar Sekolah Maahad Tahfiz di Pahang yang berjaya menghafaz al-Quran 30 juzuk.

Akif berkata, ketika di Tingkatan 1, beliau sudah menyasarkan untuk mendapat tajaan berkenaan selepas melihat kejayaan ‘senior’ yang telah berjaya mendapat tajaan daripada PETRONAS .

“Kedatangan pihak PETRONAS ke sekolah untuk menerangkan mengenai tajaan pendidikan yang ditawarkan juga menjadikan saya berusaha lebih untuk memenuhi kelayakan berkenaan,” katanya yang kini meneruskan pengajian di Kolej Taylor dalam jurusan kejuruteraan mekanikal selama dua tahun sebelum melanjutkan pengajian di luar negara.

Akif berkata, kejayaan mendapatkan tajaan pendidikan PETRONAS dapat meringankan beban ibu bapanya memandangkan dua abangnya juga sedang melanjutkan pengajian di universiti dengan pembiayaan sendiri.

“Saya berharap dapat memberikan contoh terbaik ketika pengajian, belajar bersungguh-sungguh, menjaga imej supaya dapat mengharumkan nama PETRONAS, keluarga dan negara,” katanya.

Bagi Ton Hafiz Ton Mohd Shaikhasani, 18, menerima tajaan pendidikan PETRONAS ini disifatkan satu pencapaian terbesar dalam hidupnya kerana bukan mudah untuk memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.

Walaupun beranggapan sukar untuk menembusi senarai yang layak, beliau tetap belajar bersungguh-sungguh kerana baginya satu kerugian jika masa pembelajaran dibazirkan begitu saja tanpa kejayaan.

“Tak pernah terbayang saya antara penerima tajaan ini, tetapi apabila mendapat keputusan 9A dalam SPM, saya mencuba nasib memohon dan Alhamdulillah, saya layak diterima.

“Saya memang berharap untuk mendapat tajaan pendidikan dari PETRONAS kerana kebanyakan penajaan pendidikan yang lain tidak menawarkan bidang yang saya minati.

Pada masa sama, kita tahu bahawa bersama PETRONAS, masa depan akan menjadi lebih cerah.

Ton Hafiz yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mak Lagam, Kemaman, Terengganu berkata, tawaran ini secara tidak langsung membantu meringankan beban ayahnya yang bekerja sebagai pemandu lori manakala ibunya adalah suri rumah.

“Saya pun bukan daripada keluarga senang, disebabkan itu saya berusaha belajar bersungguh-sungguh dan ingin membanggakan keluarga serta menjadi contoh kepada adik-adik.

“Tawaran ini meningkatkan peluang saya menyambung pengajian demi mencapai cita-cita menjadi jurutera dan saya bertekad mencurahkan semula bakti kepada PETRONAS,” kata anak sulung daripada tiga beradik ini yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP).

Impian belajar di luar negara

600 pelajar yang unggul dalam SPM 2023 seluruh negara mendapat tajaan pendidikan berjumlah RM320 juta menerusi insiatif ‘Memperkasakan Ilmu’.

Seorang lagi penerima tajaan pendidikan PETRONAS, Sofea Aleisha See Muhammad Daniel See, 18, yang kini sedang melanjutkan pengajian A Level di Kolej Yayasan EUM (KYEUM) dalam bidang kejuruteraan kimia selama dua tahun.

“Sejak dibangku sekolah, saya memang menyasarkan untuk memohon tajaan pendidikan daripada PETRONAS kerana memang impian saya untuk belajar di luar negara dalam bidang yang diminati.

“Alhamdulillah, dengan kejayaan mendapat 9A dalam SPM serta subjek tambahan bahasa antarabangsa, iaitu bahasa Jepun turut A, saya bersyukur kerana PETRONAS memberi peluang ini dan bertekad tidak akan mensia-siakannya.

“Ibu saya antara individu yang sentiasa memberi sokongan dan berharap dapat meringankan bebannya,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

Katanya, pada asalnya ramai yang beranggapan pelajar perempuan tidak layak untuk memilih jurusan kejuruteraan kimia, namun beliau berpendapat bahawa apabila seseorang itu layak dan berjaya, tiada siapa dapat menafikan kebolehan individu tersebut sama ada lelaki ataupun wanita.

“Ia dibuktikan sendiri oleh PETRONAS yang berusaha ke arah kepelbagaian dan keterangkuman dalam organisasi. Malah ketika di sekolah juga, kami diajar untuk menjadi seorang pemimpin dan lontarkan suara untuk pastikan wanita juga mampu berdiri setanding dengan lelaki,” katanya.

Sofea juga menegaskan bahawa kejuruteraan kimia tidak hanya terhad di pelantar, tetapi juga digunakan dalam pelbagai keperluan di PETRONAS, yang akan mempelbagaikan pelaburan syarikat bukan sahaja dalam bidang minyak dan gas.

“Saya berharap, apabila tamat pengajian nanti, saya dapat memberi sumbangan semula kepada PETRONAS dan sekiranya dapat memecahkan tradisi, saya ingin berada dalam sektor sukan permotoran,” katanya.

Sejak 1975, sebanyak RM3.81 billion sudah dilaburkan dalam menaja pendidikan, memberi manfaat kepada lebih 39,000 pelajar di seluruh negara.

PETRONAS kekal komited dalam memperkasakan ilmu dan membangunkan modal insan demi memupuk keunggulan akademik bagi pelajar dan pendidik, memastikan mereka dipersiap untuk berkembang maju dalam dunia yang semakin dinamik.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top