Syukur dan sabar ketika diuji

Syukur dan sabar ketika diuji


SETIAP manusia tidak akan terlepas daripada ujian daripada ALLAH SWT sama ada kecil atau besar dan ia sebahagian daripada sunnatullah atau ketetapan dalam kehidupan.

Hakikat ini ditegaskan pendakwah terkemuka, Datuk Mohd Kazim Elias dan beliau menjelaskan, hidup ini tidak pernah sunyi daripada cabaran bahkan menegaskan ujian itulah yang membentuk jiwa seorang Mukmin.

Beliau yang juga penulis buku Tuhan Sedang Menguji Kita itu menjelaskan, buku tersebut bukan sekadar karya biasa, tetapi lahir daripada pengalaman hidupnya sendiri yang penuh dengan liku dalam dunia dakwah.

“Buku tersebut mendapat sambutan luar biasa sehingga ia diulang cetak banyak kali.

“Namun, di sebalik kejayaan buku ini, terselit juga ujian apabila timbul salah faham terhadap penyampaiannya dalam ceramah,” katanya dalam program bual bicara sempena Karangkraf Ramadan Bookfest 2026 baru-baru ini.

Menceritakan ujian tersebut, beliau menjelaskan, salah satu kekeliruan dalam masyarakat hari ini apabila melihat kehidupan zaman Nabi Muhammad SAW dan para sahabat sebagai terlalu sederhana sehingga dianggap serba kekurangan.

USTAZ KAZIM

“Hakikatnya sejarah membuktikan umat terdahulu juga memiliki tamadun yang tersusun.

“Sebagai contoh, kisah Uthman bin Affan yang mati dibunuh di rumahnya yang bertingkat menunjukkan bahawa kehidupan ketika itu bukanlah primitif seperti yang digambarkan dalam filem atau drama,” jelasnya.

Tambahnya, begitu juga dengan makanan yang dimakan Rasulullah setiap hari.

“Baginda SAW tidak hanya memakan kurma semata-mata, tetapi turut menikmati hidangan seperti sarid iaitu sejenis roti yang dimakan bersama kuah daging.

“Dalam usaha memahamkan masyarakat mengenai roti sarid ini, saya menggunakan contoh yang hampir dengan kita iaitu roti jala yang dimakan dengan kuah daging.

“Bagaimanapun, pendekatan untuk memberi kefahaman kepada orang ramai ini disalah faham dan menjadi kontroversi. Akhirnya dengan ujian itu, buku ini menjadi laris sehingga dicetak sebanyak 11 kali,” ceritanya.

Jangan panik bila diuji

Menurut penceramah yang lebih dikenali dengan Ustaz Kazim itu, setiap ujian yang datang kepada umat Islam bukanlah hadir dengan sia-sia.

“ALLAH SWT tidak menimpakan sesuatu tanpa hikmah. Dalam al-Quran juga dijelaskan bahawa setiap kesukaran pasti disusuli dengan kemudahan.

“Justeru, sikap panik, gelisah dan putus asa bukanlah jawapannya apabil diuji. Sebaliknya seorang Mukmin perlu melihat ujian sebagai tanda bahawa ALLAH sedang ‘ingat’ padanya,” jelasnya.

Beliau kemudiannya membawakan contoh mudah seperti seorang guru yang tegas terhadap pelajarnya.

“Bukan kerana guru membenci, tetapi kerana mahu melihat para pelajarnya berjaya.

SEBAHAGIAN daripada pengunjung yang khusyuk mendengar perkongsian ahli panel.

SEBAHAGIAN daripada pengunjung yang khusyuk mendengar perkongsian ahli panel.

“Begitulah juga ujian daripada ALLAH SWT, ia datang untuk mendidik, mengangkat darjat dan menghapuskan dosa hamba-NYA,” hurainya lagi.

Tanam sikap sabar dan reda

Dalam menghadapi ujian katanya, dua sifat utama yang perlu ditanam dalam diri ialah sabar dan reda.

“Tiada manusia yang tidak diuji. Bahkan dalam keadaan kita taat beribadah sekalipun, ujian tetap hadir.

“Maka persoalannya bukanlah ‘kenapa aku diuji?’ tetapi ‘bagaimana aku menghadapinya?’,” ujar beliau.

Menurutnya, kunci kepada ketenangan dalam menghadapi ujian adalah dengan menjadi golongan syakiran (orang yang bersyukur) dan sobiran (orang yang sabar).

Beliau menjelaskan, dalam memupuk dua sifat ini dalam diri, seseorang itu perlu melihat orang yang lebih baik daripada diri sendiri dalam aspek ibadah.

“Dalam ibadah, kita perlu melihat orang yang lebih baik daripada kita. Ia akan menjadi motivasi untuk kita beribadah lebih baik lagi.

“Berbeza dalam urusan dunia, kita perlu melihat orang yang mempunyai kekurangan berbanding diri kita dan ini akan menimbulkan rasa syukur selain mengelakkan kita daripada sentiasa merasa tidak cukup,” hurainya lagi.

SEBAHAGIAN daripada pengunjung yang hadir dalam program tersebut.

SEBAHAGIAN daripada pengunjung yang hadir dalam program tersebut.

Ujian dalam bentuk emosi Ujar Ustaz Kazim, tidak semua ujian hadir dalam bentuk kesusahan fizikal dan kadangkala ia datang dalam bentuk emosi seperti dikecam, difitnah, dibenci atau tidak disukai.

“Ini semua juga sebahagian daripada tarbiah ALLAH SWT kepada para hamba-NYA.

“Dalam menghadapi tekanan ini, ALLAH memberi panduan yang jelas dalam al-Quran iaitu wasjud waqtarib yang bermaksud sujudlah dan dekatkanlah diri kepada-NYA,” jelas pendakwah itu.

Tambahnya, solat bukan sekadar kewajipan bagi Muslim, bahkan ia merupakan tempat untuk menenangkan jiwa.

“Mendekatkan diri kepada ALLAH pula merupakan jalan untuk mendapatkan kekuatan dalam menghadapi apa jua ujian yang mendatang,” katanya.

Hakikat yang sering dilupakan manusia ialah ujian yang dihadapi hanyalah setitis berbanding nikmat ALLAH SWT yang terlalu luas ibarat segunung.

Sebagai penutup perkongsiannya, Ustaz Kazim menegaskan bahawa ujian bukan untuk melemahkan manusia, bahkan untuk menguatkan lagi.

“Ia bukanlah tanda kebencian Tuhan kepada kita, tetapi bukti kasih sayang-NYA,” jelasnya.

Ringkasan AI

  • Setiap manusia tidak terlepas daripada ujian daripada ALLAH SWT yang membentuk jiwa Mukmin. Buku “Tuhan Sedang Menguji Kita” oleh Datuk Mohd Kazim Elias lahir daripada pengalaman hidup dan mendapat sambutan luar biasa. Banyak ujian termasuk salah faham berlaku dalam menyampaikan ceramah, tetapi ujian itu menjadikan buku tersebut laris. Sifat sabar dan reda penting dalam menghadapi ujian sambil melihat orang yang lebih baik dalam ibadah. Solat dan mendekatkan diri kepada ALLAH membantu menghadapi ujian emosi dan fizikal.



Source link

OR

Scroll to Top