Villarreal: Mikel Oyarzabal meledak dua gol menarik ketika juara Eropah, Sepanyol menewaskan Serbia 3-0 dalam aksi persahabatan, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai pencabar utama Piala Dunia tahun ini.
Penyerang Real Sociedad itu yang menjaringkan gol kemenangan ketika menentang England pada final Euro 2024, membuka jaringan di Villarreal menerusi gerakan bijak yang dimulakan Lamine Yamal.
Oyarzabal kemudian menggandakan jaringan peribadi dan pasukan sebelum rehat menerusi rembatan padu dari jarak 20 meter yang gagal diselamatkan penjaga gol Serbia, Vanja Milinkovic-Savic.
Pemain sayap Osasuna, Victor Munoz yang masuk sebagai pemain gantian turut mencetak gol dalam penampilan sulung bersama Sepanyol untuk memastikan kemenangan bergaya buat skuad kendalian Luis de la Fuente.
“Kami bernasib baik. Sepanyol tidak kekurangan penjaring gol,” kata De la Fuente.
Perlawanan itu diatur semula sebagai pengganti aksi Finalissima antara Sepanyol dan Argentina di Qatar yang dibatalkan susulan perang di Asia Barat.
“Disebabkan situasi (di Teluk), kami perlu bermain perlawanan ini, namun kami jelas mahu memberikan segalanya dan mengambil perkara positif.
“Saya gembira dapat menjaringkan gol, tidak sangka berada antara penjaring utama, dan saya juga gembira untuk semua termasuk Victor Munoz. Tidak penting siapa bermain, yang penting adalah pasukan,” ,” kata Oyarzabal.
Sepanyol sebelum ini dijadual bertemu Argentina yang diketuai Lionel Messi di Doha, namun konflik yang tercetus pada 28 Februari lalu menyebabkan penganjur mencari lokasi atau tarikh baharu.
Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) memaklumkan Argentina tidak bersetuju dengan beberapa cadangan alternatif, sekali gus membawa kepada pembatalan perlawanan itu.
Finalissima yang diperkenalkan pada 2022 membabitkan juara Copa America menentang juara Kejohanan Eropah.
Sepanyol dijadual menentang Mesir di Barcelona pada 31 Mac ini, dengan perlawanan itu juga dipindahkan dari Qatar dan dianjak sehari.
© New Straits Times Press (M) Bhd





