Miami: Pemain nombor dua dunia, Jannik Sinner meneruskan dominasi ke atas Alexander Zverev apabila mencatat kemenangan ketujuh berturut-turut ke atas pemain Jerman itu untuk mara ke final Terbuka Miami, awal pagi tadi.
Pemain Itali berusia 24 tahun itu melakukan 15 ace ketika menewaskan Zverev 6-3, 7-6 (7/4) dalam tempoh satu jam 53 minit, sekali gus memanjangkan rekod kemenangan set berturut-turut di kejohanan Masters 1000 kepada 32 set.
Sinner kini memburu gelaran “Sunshine Double” selepas menjuarai Indian Wells dan berpeluang menambah kejuaraan di Miami, sekali gus menjadi pemain pertama melakukannya sejak Roger Federer pada 2017.
“Berada di final sekali lagi amat bermakna buat saya.
“Saya akan terus memberikan yang terbaik dalam beberapa hari lagi, namun apa pun ia adalah satu siri kejohanan yang luar biasa,” kata Sinner.
Juara Wimbledon itu yang sudah memenangi empat gelaran Grand Slam sebelum ini turut menewaskan Zverev di separuh akhir Indian Wells dua minggu lalu dan kini memburu gelaran kedua di Miami dalam tempoh tiga tahun.
“Saya datang dengan sasaran menghasilkan permainan terbaik dan beraksi sebanyak mungkin perlawanan. Saya tidak boleh minta lebih baik daripada ini. Saya sangat gembira,” katanya.
Dalam saingan wanita, pemain nombor satu dunia Aryna Sabalenka turut memburu “Sunshine Double” apabila mempertahankan gelaran Miami menentang pemain Amerika Syarikat, Coco Gauff dalam final WTA, Sabtu ini.
Jiri Lehecka dari Republik Czech yang juga pilihan ke-21 mara ke final selepas menewaskan Arthur Fils dari Perancis 6-2, 6-2 dalam satu lagi separuh akhir di Hard Rock Stadium.
Lehecka masih gagal mencatat kemenangan ke atas Sinner dalam tiga pertemuan sebelum ini tanpa memenangi sebarang set.
“Dia pemain luar biasa.
“Dia pasti bermain lebih bebas berbanding saya, namun saya akan cuba kawal apa yang mampu dan lihat bagaimana perlawanan itu nanti,” kata Sinner.
Sinner memecah servis Zverev untuk mendahului 3-1 dalam set pertama sebelum mengekalkan kelebihan itu untuk menang set pembukaan.
Kedua-dua pemain gagal memecah servis dalam set kedua sehingga diheret ke tie-break, sebelum kesilapan Zverev memberi kelebihan kepada Sinner yang menamatkan perlawanan dengan pukulan servis kemas.
Kemenangan itu menjadikan Sinner kini mendahului rekod pertemuan 8-4 ke atas Zverev.
© New Straits Times Press (M) Bhd






