Paris: Senegal mengarak trofi Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) yang diarahkan untuk dipulangkan sebelum menewaskan Peru 2-0 dalam aksi persahabatan di Stade de France, Paris.
Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) pada 17 Mac membatalkan kemenangan 1-0 Senegal ke atas Maghribi dalam perlawanan akhir di Rabat pada 18 Januari lalu, dan menghadiahkan kemenangan 3-0 kepada tuan rumah.
Pada Sabtu, di hadapan majoriti penyokong sendiri, kapten Senegal Kalidou Koulibaly bersama rakan sepasukan turun ke padang membawa trofi AFCON untuk melakukan pusingan penghormatan selepas konsert pra-perlawanan oleh bintang Senegal, Youssou N’Dour.
Koulibaly bersama penjaga gol Edouard Mendy kemudian naik ke kotak kenamaan stadium untuk meletakkan trofi itu di hadapan Presiden Persekutuan Bolasepak Senegal (FSF), Abdoulaye Fall serta tetamu lain.
Senegal beraksi dengan jersi yang memaparkan dua bintang, satu untuk kejuaraan Afrika pertama pada 2021 dan satu lagi bagi kemenangan yang masih dipertikaikan pada Januari lalu.
Walaupun skuad hampir sama seperti aksi di Maghribi, Senegal merehatkan Koulibaly, Mendy, Sadio Mane dan Iliman Ndiaye yang langsung tidak berada di bangku simpanan.
Namun, mereka tetap menguasai permainan ke atas Peru yang sederhana. Nicolas Jackson meledak gol pada separuh masa pertama sebelum Ismaila Sarr menambah jaringan pada separuh masa kedua.
Pada Januari lalu, perlawanan akhir AFCON bertukar kecoh apabila pemain Senegal meninggalkan padang sebagai tanda protes selepas tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan separuh masa kedua.
Pemain kembali ke padang selepas dipujuk oleh kapten, Mane. Selepas sepakan penalti Brahim Diaz gagal disempurnakan, Pape Gueye menjaringkan gol pada masa tambahan untuk menghadiahkan kemenangan 1-0 buat Senegal.
CAF kemudian memutuskan pemain Senegal melanggar peraturan kerana meninggalkan padang tanpa kebenaran pengadil.
FSF mengemukakan rayuan terhadap keputusan CAF itu kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Rabu dan masih belum berputus asa untuk mengekalkan kejuaraan.
Sebelum perlawanan, hampir 200 penyokong Senegal berkumpul di hadapan Basilika Saint-Denis sebelum berarak ke Stade de France dengan iringan paluan gendang tradisional.
Datuk Bandar Saint-Denis yang baharu dipilih, Bally Bagayoko turut menyertai perarakan itu seketika.
“Selamat datang ke Saint-Denis. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menjayakan inisiatif hebat ini.
“Anda adalah kebanggaan penduduk kawasan kelas pekerja. Kami sering didiskriminasi dan dipandang rendah.
“Anda membuktikan bahawa pada saat penting seperti ini, kita mampu bersatu. Hari ini, Afrika bersatu. Semua di belakang Senegal,” katanya.
Perlawanan persahabatan menentang Peru adalah aksi pertama Senegal sejak final di Rabat.
Mereka kini membuat persiapan ke Piala Dunia dan berada dalam kumpulan mencabar bersama Perancis, Norway serta sama ada Iraq atau Bolivia.
Peru pula menamatkan saingan di tangga kesembilan daripada 10 pasukan dalam kelayakan zon Amerika Selatan dan gagal layak ke pusingan akhir musim panas di Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat.
© New Straits Times Press (M) Bhd





