Dari medan ketenteraan ke jalanan! Klinik Khidmat tekad bantu golongan terpinggir dapatkan rawatan

Dari medan ketenteraan ke jalanan! Klinik Khidmat tekad bantu golongan terpinggir dapatkan rawatan


Sebuah inisiatif perubatan, Klinik Khidmat, kini menjadi wadah kepada sekumpulan doktor yang ingin membawa rawatan terus kepada masyarakat terutama golongan terpinggir.

Asal usul mereka bermula di Maktab Tentera Diraja (MTD) di bawah naungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sejak usia remaja, mereka dididik dengan disiplin tinggi, nilai kepimpinan dan semangat setiakawan, yang kemudian membentuk asas misi mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Keunggulan akademik dalam Sijil Pelajaran Malaysia membolehkan mereka memperoleh biasiswa ke luar negara bagi melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.

Ada dalam kalangan mereka menimba ilmu di Mesir, sementara yang lain di Russia, selama enam tahun.

 Tempoh ini bukan sahaja meningkatkan kepakaran profesional mereka, malah membuka mata tentang isu kemiskinan dan keperluan kemanusiaan sejagat.

Setelah kembali ke tanah air, mereka berkhidmat lebih sepuluh tahun dalam sektor perubatan ATM.

Dari pengalaman itu, mereka menyedari ramai golongan kurang bernasib baik tidak mendapat akses kesihatan yang sewajarnya, terutamanya gelandangan dan individu hidup dalam serba kekurangan.

Inilah yang menjadi inspirasi kepada penubuhan Klinik Khidmat, sebuah projek “doktor jalanan” yang membawa rawatan terus kepada golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang atau kemampuan.

Klinik ini turut bergabung tenaga dengan Food For Gelandangan setiap Jumaat malam untuk memastikan bantuan sampai ke tangan mereka yang memerlukan.

Shah, Ketua Media Food For Gelandangan, berkata, inisiatif Klinik Khidmat ini sangat memberi impak sepanjang kerjasama yang dijalankan pada setiap Jumaat malam, khususnya dalam membantu golongan gelandangan mendapatkan akses rawatan yang sebelum ini sukar diperoleh.

Artikel lain: 2025 ditutup dengan keikhlasan! Food For Gelandangan terus menyantuni setiap Jumaat

Dengan moto “Berkhidmat Untuk Semua”, Klinik Khidmat membuktikan bahawa kepakaran dan pengalaman bukan sekadar untuk kerjaya, tetapi amanah untuk membantu sesama insan.

Tambahnya, ia bukan sekadar klinik, tetapi gerakan kemanusiaan yang lahir daripada hati yang terdidik untuk memberi.

“Semoga segala kebaikan ini menjadi amal kebajikan yang berpanjangan serta diberkati, dan semoga kerjasama yang terjalin ini akan terus diperkukuhkan pada masa akan datang demi membantu lebih ramai lagi mereka yang memerlukan,”ujar beliau.





Source link

OR

Scroll to Top