AMMER Aiman Mohd Fauzi membuktikan kemampuanya sebagai pemain golf meningkat naik apabila muncul juara keseluruhan kategori lelaki dalam Kejohanan Golf Remaja Terbuka Antarabangsa Persatuan Golf Malaysia (MGA).
Atlet muda berusia 17 tahun itu bersyukur dengan kejayaan tersebut dan melaungkan tekad untuk lebih bersemangat mencipta banyak kejayaan pada masa akan datang.
Menurutnya, kejayaan beliau dalam bidang golf tidak datang mudah malah tidak menyesal beralih daripada sukan bola sepak sejak berusia 12 tahun.
“Sebelum ini, saya lebih aktif bermain bola sepak seperti kebanyakan rakan sebaya. Namun, setelah mencuba golf, saya sedar bahawa di sinilah potensi sebenar saya.
“Alhamdulillah, saya telah menemui kejayaan dalam banyak kejohanan, dan ini memberi saya keyakinan untuk terus melangkah jauh,” katanya.
Kejohanan yang berlangsung selama empat hari bermula 2 Oktober lalu, disertai 60 pemain golf remaja tempatan dan luar negara berusia antara 9 hingga 18 tahun untuk mempamerkan kemahiran mereka di peringkat tertinggi.
Peserta kejohanan ini mewakili Program Pembangunan Junior Kebangsaan (NJDP) dan Program Pembangunan Johor (JDP), yang berperanan besar dalam melahirkan generasi pemain golf profesional masa hadapan.
Kejohanan yang mendapat pengiktirafan World Amateur Golf Ranking (WAGR), menawarkan peluang eksklusif kepada pemenang untuk bermain bersama-sama pemain golf profesional.
Dalam pada itu, bagi Kategori Wanita, Bae Eun Kyung, 16 tahun, yang berasal dari Korea Selatan, turut cemerlang apabila berjaya merangkul juara keseluruhan kategori wanita.
Bae, yang baru setahun lebih berpindah ke Malaysia bersama keluarganya, menceritakan bagaimana minatnya terhadap golf mula bercambah selepas mengikuti kedua-dua ibu bapanya berpindah ke negara ini.
Sebelum ini, Bae aktif dalam sukan Taekwondo ketika tinggal di Korea Selatan, namun apabila mencuba golf di Malaysia, beliau segera terpikat dengan sukan tersebut dan mula mengambil bahagian dalam kejohanan hampir setiap bulan.
“Saya tidak sangka akan jatuh cinta dengan sukan golf. Pada mulanya, saya hanya bermain untuk mengisi masa lapang, tetapi lama-kelamaan saya dapati saya sangat menikmati setiap detik di padang golf.
“Kejayaan ini memberi saya semangat untuk terus maju dan menjadikan golf sebagai kerjaya profesional,” ujarnya.