HARI yang dinanti-nantikan umat Islam akhirnya tiba iaitu Hari Raya Aidilfitri selepas sebulan penuh melaksanakan puasa dan ibadah-ibadah lain.
Aidilfitri yang juga disebut sebagai hari kemenangan itu disambut secara besar-besaran oleh umat Islam termasuk di negara kita.
Pensyarah Kanan Centre for Fundamental Studies, Management and Science University (MSU), Dr Muhammad Haziq Zaini menjelaskan, Aidilfitri bukan sekadar perayaan yang menandakan berakhirnya bulan Ramadan, tetapi juga merupakan detik yang sarat dengan nilai kemanusiaan, kasih sayang dan kebersamaan.
DR MUHAMMAD HAZIQ
“Dalam kesibukan dunia moden hari ini, ramai yang terpaksa meninggalkan kampung halaman demi tuntutan pekerjaan, pelajaran dan kehidupan di bandar.
“Namun apabila tibanya Aidilfitri, jutaan rakyat mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman. Fenomena pulang beramai-ramai ini bukan sekadar tradisi tahunan, sebaliknya mencerminkan betapa pentingnya nilai kekeluargaan dalam kehidupan masyarakat kita,” jelasnya kepada Sinar Islam Plus.
Tambahnya, kepulangan anak-anak perantauan ke kampung halaman sempena Aidilfitri membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar menikmati juadah hari raya atau mengenakan pakaian baharu.
“Ia adalah simbol kepada kembalinya seseorang kepada akar kekuatan hidupnya iaitu keluarga.
“Dalam keluarga, seseorang individu dibesarkan dengan nilai kasih sayang, hormat-menghormati, tanggungjawab dan kepercayaan.
“Nilai-nilai inilah yang akhirnya membentuk jati diri seseorang serta mempengaruhi cara mereka berinteraksi dengan masyarakat di sekeliling,” hurainya.
Struktur kuat, keluarga positif
Mengulas mengenai institusi keluarga, beliau menjelaskan, ia merupakan unit paling asas dalam pembinaan masyarakat yang harmoni.
Ujarnya, apabila struktur keluarga berada dalam keadaan yang kukuh dan sihat, ia mewujudkan dinamika keluarga yang positif.

SALING bermaafan pada hari raya merupakan amalan murni yang wajar dipertahankan. Foto CANVA
Bagaimanapun jelasnya, dalam realiti kehidupan moden hari ini, hubungan kekeluargaan sering teruji dengan pelbagai cabaran termasuklah kesibukan bekerja, tekanan ekonomi dan gaya hidup yang semakin individualistik menyebabkan masa berkualiti bersama keluarga semakin kurang.
“Adakalanya hubungan antara ahli keluarga menjadi renggang kerana jarak, kekangan masa dan kurangnya komunikasi.
“Dalam keadaaan sebegini, perayaan seperti Aidilfitri menjadi satu ruang yang sangat berharga untuk menghidupkan kembali kehangatan hubungan kekeluargaan yang mungkin semakin pudar,” katanya.
Oleh itu katanya, sambutan Aidilfitri menyediakan peluang yang sangat bermakna untuk semua ahli keluarga berkumpul dan mengeratkan kembali hubungan yang mungkin terpisah oleh jarak dan masa.
“Tradisi bermaaf-maafan pada pagi raya misalnya, bukan sekadar adat semata-mata, tetapi membawa mesej yang sangat mendalam tentang kepentingan memaafkan, memperbaiki hubungan dan memulakan lembaran baharu dalam kehidupan.
“Detik bersalaman dengan ibu bapa, memohon ampun dan restu serta berkumpul menikmati hidangan bersama sebenarnya merupakan momen yang memperkukuhkan ikatan emosi dalam sesebuah keluarga,” jelasnya.
Ziarah luaskan hubungan keluarga
Selain itu Dr Muhammad Haziq menambah, aktiviti menziarahi sanak saudara dan jiran tetangga juga memperluaskan lagi hubungan kekeluargaan dalam konteks yang lebih besar.
“Dalam budaya masyarakat Melayu khususnya, konsep kekeluargaan bukan hanya terhad kepada keluarga nukleus, tetapi turut merangkumi saudara-mara dan komuniti sekeliling.
“Hubungan ini mewujudkan jaringan sosial yang kuat di mana setiap individu saling mengenali, mengambil berat dan membantu antara satu sama lain,” jelasnya.
Lebih penting lagi katanya, kekuatan institusi keluarga memainkan peranan yang sangat besar dalam melindungi ahli keluarga daripada pelbagai ancaman sosial dan jenayah.
“Banyak kajian sosial menunjukkan bahawa keruntuhan institusi keluarga sering menjadi antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan pelbagai masalah sosial dalam masyarakat.

PELUANG pulang ke kampung sempena Aidilfitri digunakan untuk kembali mengukuhkan hubungan kekeluargaan. Foto CANVA
“Apabila hubungan kekeluargaan menjadi longgar, komunikasi antara ahli keluarga semakin lemah dan pengawasan terhadap anak-anak semakin berkurang, maka ruang kepada berlakunya pelbagai bentuk penyelewengan sosial menjadi lebih besar,” hurainya.
Ujar pensyarah itu, antara isu yang sering dikaitkan dengan kelemahan institusi keluarga ialah keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak serta jenayah seksual termasuk kes sumbang mahram.
“Isu-isu ini bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa secara individu, malah turut menjejaskan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
“Sebaliknya, keluarga yang mempunyai hubungan yang erat dan komunikasi yang terbuka akan menjadi benteng pertama dalam melindungi ahli keluarganya,” katanya.






