Ronaldo ‘pujuk’ Casemiro ke Arab Saudi, elak sertai Messi di Miami

Ronaldo ‘pujuk’ Casemiro ke Arab Saudi, elak sertai Messi di Miami


CRISTIANO Ronaldo dilaporkan sedang berusaha keras untuk meyakinkan bekas rakan sepasukannya, Casemiro, agar menyertainya di Arab Saudi berbanding berhijrah ke Amerika Syarikat untuk bersama Lionel Messi.

Sebelum ini, Casemiro telah mengumumkan bahawa musim ini bakal menjadi aksi terakhirnya bersama Manchester United selepas kelab itu memutuskan untuk tidak mengaktifkan klausa lanjutan kontrak selama 12 bulan.

Langkah tersebut diambil United bagi mengurangkan beban kewangan kelab memandangkan pemain tengah Brazil itu menerima gaji lumayan mencecah £375,000 seminggu.

Memetik laporan Daily Mail Sport, kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS), Inter Miami, telah menyatakan minat untuk membawa Casemiro ke Florida sebaik sahaja kontraknya tamat musim panas ini.

Langkah itu bakal menyaksikan Casemiro berpeluang beraksi bersama seteru lama Ronaldo, Lionel Messi, sebelum bintang Argentina itu menggantung but.

Bagaimanapun, menurut laporan akhbar Sepanyol, Marca, Ronaldo kini bertindak sebagai ‘orang tengah’ untuk menghalang perpindahan tersebut.

Ronaldo dikhabarkan cuba memujuk Casemiro untuk menyertai projeknya di Al-Nassr, memandangkan dia menganggap pemain itu sebagai watak penting yang mampu membantu kelab berkenaan memburu kejuaraan liga.

Sejak perpindahan sensasinya ke Timur Tengah pada 2023, Ronaldo masih tercari-cari gelaran liga pertamanya bersama Al-Nassr dan melihat kualiti Casemiro sebagai kunci utama untuk memperkukuhkan jentera tengah pasukan.

Dalam pada itu, Messi juga dikatakan sangat berminat untuk melihat Casemiro menyarung jersi Inter Miami bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Sergio Busquets di bahagian tengah selepas persaraannya tahun lalu.

Walaupun bakal meninggalkan Old Trafford, Casemiro sebenarnya sedang menikmati antara musim terbaiknya bersama United dengan rekod tujuh gol daripada 30 penampilan setakat ini.

Meskipun Casemiro dikatakan gemar dengan gaya hidup di Miami selepas menghabiskan percutian di sana bersama keluarganya, faktor kewangan menjadi penghalang utama buat kelab milik David Beckham itu.

Struktur gaji MLS yang ketat menyukarkan Inter Miami untuk menampung permintaan gaji Casemiro kecuali pemain itu sedia melakukan kompromi besar.

Situasi itu memberi kelebihan buat Al-Nassr, di mana gandingan semula bersama Ronaldo di Arab Saudi menjanjikan pakej kewangan yang jauh lebih lumayan buat pemenang lima pingat Liga Juara-Juara itu.

Ringkasan AI

  • Cristiano Ronaldo cuba memujuk Casemiro untuk sertai Al-Nassr di Arab Saudi.
  • Casemiro umum tinggalkan Manchester United selepas kelab enggan lanjutkan kontrak.
  • Inter Miami minat bawa Casemiro ke Florida untuk main bersama Lionel Messi.
  • Ronaldo melihat Casemiro sebagai penting untuk kejayaan Al-Nassr.
  • Gaji lumayan di Al-Nassr jadi tarikan utama berbanding struktur gaji ketat MLS.



Source link

OR

Scroll to Top