PANAMA: Perang di Asia Barat mencetuskan peningkatan mendadak jumlah kapal yang menggunakan Terusan Panama, menurut seorang pegawai kanan laluan perkapalan antara dua lautan itu.
Konflik yang berlarutan selama sebulan sejak 28 Februari menyaksikan Iran secara berkesan menyekat Selat Hormuz, yang lazimnya menjadi laluan bagi kira-kira satu perlima eksport minyak dan gas dunia.
“Kami menjangkakan sekitar 34 laluan sehari bagi tahun ini, namun dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini kami mencatat 38, 39 hingga 40,” kata Timbalan Pentadbir terusan itu, Ilya Espino de Marotta dalam temu bual bersama saluran Telemetro.
Kira-kira lima peratus perdagangan maritim global melalui Terusan Panama, dengan pengguna utamanya ialah Amerika Syarikat (AS) dan China. Laluan ini menghubungkan pantai timur AS dengan China, Korea Selatan dan Jepun.
“Terusan Panama adalah laluan yang selamat dan pendek, yang walaupun dengan harga bahan api, masih mampu mengurangkan kos,” kata de Marotta.
Namun begitu, beliau memberi amaran kadar 40 kapal sehari ‘tidak mampan’ berikutan kekangan kapasiti laluan tersebut.
Beliau berkata, menjelang April, terusan itu dijangka menyaksikan peningkatan semula jumlah kapal yang membawa gas asli cecair (LNG), selepas penurunan akibat pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
“Kami sebelum ini mencatat lebih 500 laluan setahun, namun ia merosot akibat perang Ukraine-Russia, dan kini mula pulih semula,” katanya.-AFP






