Pempengaruh media sosial, Nilam Ortiz berkata dia nekad menjalani pembedahan bagi membuang silikon lama yang pernah dimasukkan ke dalam hidungnya, sebagai usaha untuk menjadi lebih baik.
Memetik Astro Gempak, Nilam berkata prosedur tersebut hanya dapat dilakukan beberapa bulan lalu selepas ditunda kerana dia sedang hamil.
BACA: Azlan Komeng, Nur Nilam Sah Bercerai
“Saya bukan buat hidung tetapi saya buang silikon. Kalau perasan, bahagian dagu dan hidung saya ada semua parut.
“Baru beberapa bulan yang lalu dibuang. Tahun lepas ada buat tetapi doktor tak boleh buang sepenuhnya sebab saya tengah mengandung. Jadi bila dah bersalin, baru buang kesemuanya.
“Jadi sekarang ni, saya tak kisah apa orang cakap sebab saya dalam proses untuk pembersihan,” katanya.
Sementara itu, Nilam berkata dia dalam proses membuang tatu yang pernah dicacahnya satu masa dahulu. Menurut Nilam lagi, semuanya bermula selepas dia selesai menunaikan umrah November tahun lalu.
“Saya mengambil langkah bukan sahaja membuang silikon tapi saya hampir membuang kesemua tatu-tatu saya.
“Saya cuba nak menjadi manusia lebih baik, sebab itu sekarang ini saya kurang lantang, tak fokus kepada orang tetapi lebih fokus kepada diri, anak dan keluarga saya.
“Saya dapat satu benda yang baru ketika menunaikan umrah tahun lalu. Bila saya pergi Makkah, saya dapat banyak benda yang baik-baik Allah bagi pada saya. Jadi, saya nak ‘bersih’ bila menghadap Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Nilam berkata meskipun ada yang mengatakan tidak perlu untuk berbuat demikian namun baginya jika dia berani untuk lakukan harus berani untuk membuangnya.
“Sebelum ini badan saya ada tatu, silikon jadi saya nak ubah. Ada yang kata pada saya tak perlu sebab sakit tetapi pada saya, kalau saya berani buat, saya kena beranilah buang. Sakit waktu buat, lebih baik kita sakit waktu kita buang. Itu saya punya pandanganlah,” katanya.
Sumber: Astro Gempak






