Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol (belakang, tiga dari kiri) hadir pada majlis pelancaran NSL 2026 di Bukit Jalil pada Rabu.
SAINGAN Netball Super League (NSL) kembali memeriahkan kalendar bola jaring tempatan bagi musim kelima tahun ini dengan pelbagai pembaharuan yang dijangka mengangkat lagi statusnya sebagai liga profesional wanita di rantau Asia.
Antara tarikan utama edisi 2026 ialah penganjuran NSL Regional Cup buat kali pertama, selain kehadiran pemain antarabangsa bertaraf dunia yang bakal mempertingkatkan tahap persaingan.
Perkembangan itu turut diperkukuh dengan penyertaan CelcomDigi Berhad sebagai penaja utama buat kali pertama, sekali gus mencerminkan keyakinan sektor korporat terhadap potensi NSL sebagai platform pembangunan bola jaring wanita di negara ini.
Saingan NSL 2026 anjuran Astro dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Malaysia dijadual berlangsung dari 11 April hingga 17 Mei ini di Stadium Juara.
Sebanyak lapan pasukan akan bersaing dalam 64 perlawanan sepanjang enam minggu kejohanan itu berlangsung.
Selepas tamat saingan liga utama, NSL Regional Cup akan diadakan dari 14 hingga 17 Mei, membabitkan dua pasukan jemputan antarabangsa dari Singapura dan Hong Kong bersama dua pasukan terbaik NSL.
Musim ini juga menyaksikan penyertaan 16 pemain import dari negara kuasa besar bola jaring seperti Australia, New Zealand, Jamaica, Afrika Selatan, Uganda, Malawi, Zimbabwe dan Botswana.
Kehadiran pemain bertaraf dunia yang pernah beraksi di pentas Netball World Cup serta liga profesional elit dijangka memberi impak besar kepada tahap permainan liga dan perkembangan pemain tempatan.
Antara yang mencuri tumpuan ialah bekas pemain Australian Diamonds, Gretel Bueta serta legenda Silver Ferns, Laura Langman.
Ringkasan AI
- Netball Super League (NSL) edisi 2026 memperkenalkan NSL Regional Cup buat kali pertama.
- CelcomDigi Berhad menjadi penaja utama baru, menunjukkan sokongan korporat kepada NSL.
- Saingan NSL 2026 diadakan di Stadium Juara dari 11 April hingga 17 Mei.
- Sebanyak 64 perlawanan akan dijalankan melibatkan lapan pasukan dalam tempoh enam minggu.
- Pemain antarabangsa ternama seperti Gretel Bueta dan Laura Langman turut menyertai musim ini.






