Israel rancang kuasai selatan Lubnan

Israel rancang kuasai selatan Lubnan


TEL AVIV: Israel mengumumkan akan menduduki kawasan luas di selatan Lubnan dan memusnahkan rumah di sepanjang sempadan, mencetuskan kebimbangan mengenai pengusiran paksa jangka panjang bagi melibatkan kira-kira 600,000 penduduk.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata, selepas pertempuran dengan Hizbollah berakhir, Israel akan menguasai kawasan di bawah Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer (km) dari sempadan Israel-Lubnan, sebagai sebahagian daripada zon penampan.

“Pada akhir operasi, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) akan mengawal kawasan sehingga Sungai Litani, termasuk jambatan yang masih ada, sambil menghapuskan pasukan Radwan yang menyusup ke kawasan itu serta memusnahkan semua senjata di sana,” kata Katz, merujuk kepada unit elit Hizbollah.

Beliau berkata, semua rumah di perkampungan berhampiran akan dimusnahkan mengikut model Rafah dan Beit Hanoun di Gaza, di mana tentera Israel meranapkan sebahagian besar kediaman dan infrastruktur awam.

Human Rights Watch berkata, kenyataan seumpama itu boleh dianggap sebagai pengusiran paksa dan kemusnahan sewenang-wenangnya, yang merupakan jenayah perang.

Dalam temu bual dengan LBCI, jurucakap tentera Israel, Mejar Doron Spielman mendakwa setiap rumah di selatan Lubnan, khususnya rumah komuniti Syiah, adalah pusat operasi pengganas.

Israel melancarkan kempen ketenteraan di Lubnan selepas Hizbollah melancarkan roket ke arah Israel pada 2 Mac sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei.

Jet Israel mengebom sasaran yang didakwa milik Hizbollah di seluruh negara, manakala tenteranya melancarkan serangan darat di selatan Sungai Litani.

Matlamat segera pencerobohan itu adalah untuk mengusir Hizbollah jauh dari sempadan bagi menghalang keupayaannya melancarkan roket ke kawasan di utara Israel.

Tentera Israel dilaporkan mara dengan pantas di selatan Lubnan, termasuk mencapai bandar Bayada, kira-kira lapan kilometer dari bandar Tyre. Mereka juga semakin menghampiri kawasan di daerah Nabatieh, yang jika dikuasai akan memberi kelebihan strategik untuk mengawal kawasan Sungai Litani.

Israel turut melancarkan serangan udara ke atas pinggir selatan Beirut pada Selasa. Tentera Lubnan dilaporkan berundur dari kedudukan mereka di bandar majoriti Kristian Rmeish dan Ain Ebl ketika tentera Israel mara, walaupun dibantah penduduk tempatan.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, sekurang-kurangnya 1,268 orang terbunuh akibat serangan Israel.

Jika kawasan selatan diduduki secara kekal dan penduduk dihalang pulang, penganalisis memberi amaran ia boleh mencetuskan bencana sosial dan politik di Lubnan, di mana majoriti penduduk sudah hidup dalam kemiskinan sebelum perang bermula.-AGENSI





Source link

OR

Scroll to Top