MERAIKAN Hari Raya Aidilfitri merupakan satu kenikmatan yang wajib disyukuri kerana ia merupakan hari kemenangan setelah sebulan kita menjalani tarbiah dalam Madrasah Ramadan.
Namun di sebalik kegembiraan ini, timbul satu persoalan yang perlu ditanyakan kepada diri: Apakah perubahan yang telah lahir dalam diri kita setelah berlalunya Ramadan?
“Jika umat Islam masih terbelenggu dengan sifat-sifat buruk dan keji, maka selepas Ramadan sewajarnya kita berusaha menghiasi diri dengan sifat-sifat baik dan terpuji seperti ikhlas, sabar, rendah hati dan kasih sayang.
“Hakikatnya kejayaan Ramadan sebenarnya dapat dilihat pada kemampuan kita mengekalkan amalan baik secara istiqamah dalam kehidupan seharian walaupun Ramadan berlalu,” ujar khatib pada permulaan khutbah.
Khutbah Aidilfitri bertajuk Aidilfitri menyatukan, teknologi mendekatkan itu disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan dibacakan di seluruh negeri itu pada hari pertama Syawal.
Jelas JHEAINS, pada era globalisasi yang serba pantas pada hari ini, kehidupan manusia bergerak seiring dengan kemajuan teknologi dan perkembangan media sosial.
“Maklumat tersebar dalam sekelip mata dan manusia sentiasa terhubung tanpa sempadan.
GUNAKAN teknologi untuk merapatkan lagi ukhuwah dan silaturahim. Foto Canva
“Namun di sebalik kemajuan tersebut, kita juga berdepan dengan satu realiti yang membimbangkan iaitu amalan nilai-nilai baik semakin dipinggirkan dalam masyarakat,” ujarnya.
Budaya menunjuk, berbangga semakin ketara
Dalam suasana kehidupan masa kini katanya, kita dapat melihat semakin berkurangnya sifat tawaduk iaitu merendah diri, malah budaya menunjuk-nunjuk dan berbangga diri semakin ketara.
“Pada masa sama, sifat sabar juga semakin menipis dalam kehidupan yang menuntut segala-galanya berlaku dengan pantas dan segera.
“Malah nilai persaudaraan turut menjadi semakin longgar apabila manusia lebih banyak berhubung melalui skrin berbanding bertemu, bertegur sapa dan mengeratkan persaudaraan secara bersemuka,” jelasnya.
Di sinilah menurut khatib, letaknya hikmah Ramadan yang sering umat Islam lupakan iaitu puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi merupakan suatu proses mendidik jiwa supaya kembali merasai erti kehambaan di hadapan ALLAH SWT.
Sambung khatib, Aidilfitri bukan sekadar perayaan yang dihiasi dengan pakaian baharu, hidangan yang enak atau rumah yang dihias indah kerana semua itu hanyalah hiasan luaran semata-mata.
“Sebaliknya, Aidilfitri merupakan tanda kemenangan bagi mereka yang berjaya melalui tarbiah Ramadan dengan jiwa yang lebih bersih dan akhlak yang lebih terpelihara.

JANGAN cemari Syawal dengan hanya menghabiskan masa di alam maya, sebaliknya gunakan masa dan peluang untuk saling menziarahi. Foto Canva
“Kegembiraan yang diraikan pada hari ini seharusnya mendorong kita untuk terus memelihara hubungan dengan ALLAH SWT serta mempererat hubungan sesama manusia dengan penuh kasih sayang dan saling memaafkan dalam persaudaraan yang tulus,” katanya.
Kehidupan di alam maya
JHEAINS kemudiannya mengingatkan bahawa pada zaman serba moden ini, kehidupan manusia bukan sahaja berlaku di alam nyata, bahkan juga menerusi alam maya.
“Media sosial menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian masyarakat. Lantaran itu, jati diri seorang Muslim bukan sahaja terserlah ketika berhadapan dengan manusia, bahkan turut teruji ketika berada dalam ruang digital.
“Kekuatan seorang Mukmin bukan terletak pada kecanggihan teknologi yang dimiliki, tetapi pada kemampuannya mengawal diri agar tidak hanyut dalam kelalaian yang boleh merosakkan hubungan sesama manusia,” jelasnya.
Khatib kemudiannya membacakan sepotong hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH SWT menyukai perkara-perkara yang tinggi dan mulia serta membenci perkara-perkara yang keji.” (Hadis Riwayat At-Tabarani)
“Hadis ini mengajar kita supaya memilih akhlak yang mulia serta menjauhi perkara yang keji dan sia-sia.
“Oleh sebab itu, dalam kehidupan hari ini termasuk menerusi media sosial, seorang Muslim hendaklah memanfaatkan teknologi untuk perkara yang baik serta memelihara maruah diri dan hubungan sesama manusia,” hurainya.
Peluang berharga pada Syawal
Menyambung khutbah, khatib menjelaskan, Aidilfitri merupakan peluang amat berharga untuk merapatkan silaturahim, menziarahi keluarga, saudara-mara dan sahabat handai.
Namun begitu ujarnya, dalam suasana kehidupan digital hari ini, kadangkala timbul suatu keadaan yang merisaukan.
“Ada yang duduk bersama keluarga di ruang tamu, tetapi perhatian lebih tertumpu kepada telefon bimbit berbanding ahli keluarga sendiri.

REBUTLAH peluang pada bulan Syawal untuk merapatkan lagi hubungan silaturahim. Foto Canva
“Begitu juga ketika berkunjung ke rumah saudara-mara, ada yang lebih sibuk memandang skrin telefon daripada memandang wajah dan menyantuni tuan rumah,” katanya.
Hakikatnya keadaan ini bertentangan dengan nilai belas ihsan yang dianjurkan Islam, ujar khatib kepada para jemaah.
“Tokoh pemikir Islam, Badiuzzaman Said Nursi menjelaskan antara tanda syafaqah atau belas ihsan termasuklah memuliakan dan menyantuni ibu bapa kerana merekalah insan yang paling berhak menerima kasih sayang kita.
“Di samping itu, sifat kasih sayang hendaklah ditunjukkan melalui kepedulian dan keprihatinan terhadap kesusahan orang lain,” jelasnya.
Sebelum menamatkan khutbah, khatib berpesan kepada jemaah agar menjadikan sambutan Aidilfitri sebagai saat untuk memperbaharui hubungan dengan ALLAH SWT dan juga sesama manusia.
“Hargailah saat-saat pertemuan dengan ibu bapa, keluarga dan saudara-mara selagi masih ada kesempatan untuk bersama.
“Janganlah kesibukan dengan dunia digital menjadikan kita lalai daripada menghargai insan yang berada di hadapan kita,” pesannya.






