Status rumah tangga yang dibina selama lima tahun membabitkan penyanyi, Zizi Kirana dan pelakon, Yusuf Bahrin akhirnya menemui titik noktah selepas kedua-duanya dilaporkan sah bercerai talak satu pada Khamis.
Kata peguam syarie, Haiza yang mewakili Zizi Kirana pasangan itu sah bercerai talak satu secara raj’ie di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Selangor.
“Prosiding permohonan cerai ini dijalankan di hadapan (Hakim Syarie) Muhammad Saifullah Hamzah dan direkodkan lafaz cerai terhadap Zizi talak satu secara raj’ie.
“Prosiding pada hari ini di Mahkamah Rendah Syariah Petaling adalah di bawah satu permohonan perceraian bawah Seksyen 47, pihak Zizi dan Yusuf bersetuju untuk permohonan cerai ini dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Eh itu bagaimanapun bersyukur kerana urusan perceraiannya bersama Yusuf selesai.
“Alhamdulillah, semuanya dah selesai. Terima kasih semua,” katanya ringkas.
Sekadar info, status rumah tangga pasangan terbabit mula menyorot perhatian ramai selepas kedua-duanya dilihat tidak menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama.
Malah, kedua-duanya juga didakwa tidak mengikuti akaun media sosial masing-masing.
Untuk rekod, Yusuf dan Zizi Kirana bernikah pada 19 September 2021 dan pasangan ini masih belum dikurniakan cahaya mata.
Sumber: Harian Metro






