PENGARAH Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menegaskan sudah tiba masanya kem skuad kebangsaan berhenti bergantung kepada tonggak utama khususnya menjelang Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026, minggu depan.
Beliau berkata, situasi di kem kebangsaan tidak sepatutnya diibaratkan seperti “menghantar pasukan besar ke medan perang” tetapi hanya mengharapkan kemenangan daripada beberapa individu sahaja seperti beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei,.
Rexy mahu pemain lain termasuk pasangan beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King memperkuatkan mental untuk turun ke gelanggang dengan misi menyumbang keputusan buat pasukan.
“Pemain lain juga mempunyai potensi tapi kenapa kita hanya bergantung kepada Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah atau Tang Jie-Ee Wei. Bukan bermakna kita tidak mahu bergantung kepada mereka, sebab mereka memang sudah membuktikan dalam kejohanan selama ini boleh terjemahkan keputusan baik.
“Ini macam kita kirim pasukan tentera pergi berperang, kita kirim seratus orang tapi kita hanya harapkan kepada dua tiga orang saja, ini tidak betul,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan skuad kebangsaan di ABM pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Rexy berkata, perbezaan antara pemain utama dan pemain sandaran bukan terletak pada kualiti latihan sebaliknya cara berfikir dan kekuatan mental ketika berada di gelanggang.
Beliau berkata, pemain sandaran tidak boleh lagi memasuki gelanggang dengan perasaan kurang yakin atau berpuas hati apabila tewas kerana menganggap masih ada pemain senior yang boleh diharapkan.
“Kita boleh lihat mereka berlatih tiada bezanya dengan Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah dan Tang Jie-Ee Wei. Tapi faktor mental mereka kerana menganggap masih ada Aaron-Wooi Yok masih ada Tang Jie-Ee Wei, tidak boleh macam itu, harus percaya dengan diri sendiri,” katanya.
Ditanya mengenai penanda aras yang dimahukan buat pemain di BAC, legenda badminton Indonesia itu mahu mereka mempunyai mentaliti juara kerana mereka sudah membuktikan keupayaan menumpaskan pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia sebelum ini.
“Kalau berbicara apa penanda aras untuk Wei Chong-Kai Wun, Arif-Roy King, sudah tentu saya mahu mereka juara. Tapi sama ada mentaliti atau cara mereka berfikir sama? Ini yang harus kita satukan,” katanya.
Selepas berakhir tugasan di BAC yang akan berlangsung di China pada 7 hingga 12 April, skuad negara dijadual pulang ke tanah air sebelum berlepas ke Denmark pada 14 April bagi menjalani kem latihan pusat sebagai persiapan akhir menghadapi saingan Piala Thomas dan Uber, dari 24 April hingga 3 Mei. – Bernama






