Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengingatkan penjawat awam agar tidak menyalahgunakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) dengan ‘Baring Duduk Rehat’ atau ‘Beli-belah di pasar raya’.
Sebaliknya kata beliau, mereka tetap tertakluk kepada peraturan dengan tahap produktiviti yang sama atau lebih baik.
Beliau berkata, ketua jabatan juga perlu memastikan setiap petugas yang melaksanakan dasar BDR mematuhi tatacara ditetapkan selain memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) yang digariskan.
“Sebagai respons terhadap tekanan ekonomi dan keperluan semasa, kerajaan melalui Jemaah Menteri pada 1 April lepas telah bersetuju agar dasar BDR dilaksanakan bermula 15 April ini namun, jangan salah faham.
“BDR bukan bermaksud ‘Baring Duduk Rehat’ atau ‘Beli-belah Di pasar Raya’. Ia mesti mengikut peraturan dan tatacara yang telah ditetapkan.
“Output dan produktiviti mesti sama, malah kalau boleh lebih baik daripada kerja di pejabat,” katanya dalam ucapan pada Majlis Jelajah Taat Setia MADANI Peringkat Negeri Selangor di Shah Alam hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsul Azri menegaskan penjawat awam perlu menjadi teladan kepada rakyat dengan bukan sahaja melaksanakan arahan, tetapi turut memacu pelaksanaan secara bijaksana.
Seiring amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau menyeru agar budaya berjimat cermat terus diamalkan secara konsisten di setiap jabatan.
“Di pejabat, sekiranya lampu dan kipas tidak digunakan, matikan. Penggunaan penyaman udara perlu diselaraskan pada suhu yang sesuai. Mesyuarat juga boleh dijalankan secara dalam talian bagi mengurangkan kos perjalanan dan penggunaan kertas.
“Elakkan pembaziran dan jika tiada keperluan mendesak, elakkan pembelian aset mewah untuk kegunaan pejabat kecuali atas faktor keselamatan atau kepentingan awam,” katanya.
Kredit Gambar Utama: BERNAMA





