Estanguet bebas dakwaan isu gaji Olimpik Paris 2024

Estanguet bebas dakwaan isu gaji Olimpik Paris 2024


Paris: Siasatan terhadap ketua penganjur Sukan Olimpik Paris 2024, Tony Estanguet, berkaitan isu gaji ditutup selepas pihak pendakwa kewangan Perancis tidak menemui sebarang unsur salah laku jenayah.

Menurut pejabat pendakwa, siasatan itu dijalankan bagi meneliti bayaran diterima Estanguet dalam kapasiti sebagai presiden jawatankuasa penganjur Olimpik 2024, susulan persoalan yang timbul mengenai struktur imbuhan bagi jawatan berprofil tinggi itu.

Bagaimanapun, hasil siasatan mengesahkan tiada kesalahan jenayah berlaku, sekali gus membersihkan nama Estanguet daripada sebarang dakwaan.

Isu berkenaan mula mendapat perhatian apabila laporan media tempatan mempersoalkan jumlah gaji diterima Estanguet yang dianggap tinggi bagi peranan dalam badan penganjur acara sukan terbesar dunia itu, sekali gus mencetuskan desakan supaya siasatan dijalankan demi ketelusan.

Estanguet sebelum ini menegaskan beliau tidak terbabit dalam sebarang keputusan berkaitan penetapan gajinya, sebaliknya perkara itu ditentukan oleh pihak lembaga pengarah.

Sebagai rekod, Estanguet adalah figura penting dalam kejayaan bidaan Paris untuk menjadi tuan rumah Olimpik 2024 dan memainkan peranan besar dalam merancang serta menyelaras penganjuran temasya berkenaan.

Bekas atlet berusia 47 tahun itu mencipta nama sebagai antara jaguh kanu dunia apabila meraih tiga pingat emas Olimpik, sekali gus menjadikannya antara atlet paling berjaya Perancis sebelum beralih ke pentadbiran sukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top